Supermax berkata, syarikat sedang dalam perancangan bagi penggantian jawatan tersebut dan semua urusan perniagaan berjalan seperti biasa.

“Kedudukan perniagaan te­tap utuh dan pihak pengurusan terus komited dalam mengembangkan perniagaan pa­da masa hadapan,” kata syarikat itu da­lam kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menyabitkan kesalahan ke atas Bee Geok yang juga merupakan bekas Pengarah Eksekutif APL Industries Bhd. (APLI) dan adik perempuannya Tan Bee Hong atas kesalahan dagangan orang dalam.

Kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM7 juta setiap seorang. Hukuman itu ditangguh sementara kes rayuan mereka selesai.

APLI merupakan satu daripada syarikat di bawah kumpulan Supermax.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) se­malam memaklumkan, Bee Hong telah disabitkan de­ngan kesalahan dagangan orang dalam kerana didapati telah menjual sebanyak 350,000 saham APLI ketika memiliki maklumat material bukan awam, manakala Bee Geok, yang ketika itu merupakan pengarah eksekutif APLI yang bertanggungjawab ke atas kewangan syarikat, telah disabitkan kesalahan kerana menyampaikan maklumat bukan awam tersebut kepadanya antara 23 Oktober 2007 dan 31 Oktober 2007.

Bee Geok telah memaklumkan kepada adik perempuannya mengenai pelarasan audit yang dicadangkan oleh juruaudit APLI, yang menyebabkan APLI melaporkan kerugian yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007 berbanding dengan keputusan suku tahun keempat belum diaudit yang dilaporkan sebelumnya bagi tahun kewangan yang sama.

Pelarasan audit tersebut telah menyebabkan APLI diklasifikasikan sebagai syarikat PN 17.

APLI membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia mengenai pelarasan audit tersebut dan pengklasifikasiannya sebagai sya­rikat PN17 pada 31 Oktober 2007.

Di bawah seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), kesalahan dagangan orang dalam boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.