KUALA TERENGGANU – Peningkatan sebanyak 174 peratus kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) melibatkan 488 kes tahun ini berbanding hanya 178 kes tahun lalu adalah membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, angka itu direkodkan bagi tempoh Januari hingga hari ini bagi keseluruhan negeri ini.

“Peningkatan kes tahun ini dilihat ketara berbanding tahun sebelum ini yang hanya mencatatkan tidak sampai 200 kes.

“Walaupun penyakit ini (HFMD) tidak sampai tahap mengancam nyawa, kita harap pemantauan dilakukan secara berterusan bagi mengelak ia terus berjangkit dan akan menjejaskan tahap kesihatan kanak-kanak,†katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Alias, setakat ini sebanyak tiga buah taska ditutup sepenuhnya dan sebuah taska ditutup sebahagian melibatkan bahagian tatih.

“Antara taska terlibat ialah Taska Permata Keluarga Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu, Taska Permata Keluarga Putera Jaya, Setiu dan Taska Permata Keluarga Cherang Guling Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Durian Guling.

“Bagi Taska Permata Keluarga di Kampung Raja, Besut hanya ditutup satu bilik sahaja,†katanya.

Selain itu, Alias berkata, terdapat tujuh kejadian wabak melibatkan masing-masing satu kejadian di Marang, Hulu Terengganu dan Besut, manakala dua kes masing-masing di Kuala Terengganu dan Setiu.

Sehubungan itu katanya, langkah pencegahan perlu dilakukan bagi penyakit yang berisiko menjangkiti kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah itu oleh ibu bapa dan pihak pengurusan pusat jagaan kanak-kanak.

“Antara langkah pencegahan perlu dilakukan ialah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran di mana ia mudah berlaku di tempat sesak serta mutu kebersihan yang rendah.

“Ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak dengan gejala HFMD mendapatkan rawatan dan tidak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak,†katanya.

“Selain itu, katanya, pihak pengurus pusat jagaan kanak-kanak perlu menjalankan aktiviti pembersihan premis termasuk permainan dan alatan digunakan kanak-kanak serta saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka seperti memastikan kanak-kanak yang dihantar ke situ bebas daripada penyakit itu,†katanya.