MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, selaku rakan pelaksana projek, dalam satu kenyataan malam ini berkata, penutupan itu berikutan kerja-kerja pelebaran jalan, kerja premix, menanda jalan, pemasangan konkrit barrier dan kerja-kerja berkaitan.

Laluan yang akan ditutup dari 10 malam hingga 5 pagi itu adalah susur masuk jalan (lorong kecemasan) KM8.20 dari simpang Pekan Sungai Besi Exit 905 ke arah Sungai Besi dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Cheras.

Selain itu, jalan di hadapan jejantas stesen LRT Sungai Besi (arah Kuala Lumpur) akan ditutup selama sebulan bermula Jumaat ini bagi kerja-kerja meroboh dan menurunkan jejantas pejalan kaki dan pengalihan utiliti.

Semasa penutupan jalan bermula dari 10 malam hingga 5 pagi itu, pengguna jalan raya dari Seri Kembangan/Serdang/MINES yang ingin ke pusat bandar raya/Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan laluan yang bertentangan juga akan dilencongkan ke Jalan Suasa 2 melalui aliran kontra yang disediakan.

Sementara itu, EKVE Sdn Bhd mengumumkan penutupan sementara susur keluar dari Jalan Ukay Perdana ke Ampang mulai esok hingga 4 Ogos untuk kerja-kerja pelancaran rasuk bagi pembinaan Lebuh Raya EKVE.

Dalam satu kenyataan hari ini, EKVE berkata laluan kontrak akan diaktifkan dari Jalan Ukay Perdana (Persimpangan Jalan Andaman Utama) ke persimpangan MRR2 Kampung Pasir.

Lencongan dan penutupan sementara itu bermula dari 11 malam hingga 5 pagi keesokan hari selama 17 hari berturut-turut.

Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda jalan dan berhati-hati semasa memandu apabila melalui laluan berkenaan. – BERNAMA