PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis pada 4 Ogos depan bakal menyaksikan pelbagai perkembangan menarik susulan daripada pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PKR dan Bebas.

Pada PRU14 lalu, Dun Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PKR, BN, Pas, dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Menerusi proses penamaan calon pada Sabtu lepas, BN dilihat mempertaruhkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon mereka bagi membawa cabaran untuk merampas kekosongan kerusi tersebut.

Sementara, Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) PKR Pusat, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kemenangan di kubu kuat mereka.

Lebih menarik, pertembungan di PRK Sungai Kandis turut membabitkan calon Bebas yang juga pesara kerajaan, Murthy Krishnasamy.

Terdahulu, sebelum proses penamaan calon ditutup, seorang calon dari PRM, Ahmad Kamarudin, 42, turut bertindak menarik diri selepas menerima panggilan daripada jawatankuasa tertinggi parti itu yang mengarahkannya untuk memberi laluan kepada pertembungan calon BN dan PKR.

Seperti dijangka, Pas dilihat tidak menurunkan calonnya untuk bertanding pada kali ini memandangkan parti Islam itu pernah menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk bertanding sekiranya BN turut sama meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang memaklumkan bahawa parti itu berpegang kepada prinsip di mana hanya pertandingan satu lawan satu bakal memberi peluang terbaik buat pembangkang.

Momentum pengundi berubah

Dengan ketiadaan Pas pada kali ini, pastinya momentum PRK akan berlainan malah pertembungan tiga penjuru juga akan menyaksikan sejauh mana kemampuan calon BN dan Bebas untuk merampas kerusi itu.

Malah, sudah semestinya tumpuan akan teralih kepada penyokong Pas dalam PRK kali ini bagi melihat parti manakah yang menjadi pilihan mereka selepas parti Islam itu tidak meletakkan calon mereka untuk bertanding.

Persoalan yang timbul kini adakah penyokong Pas akan memilih calon dari BN, PH atau pun calon Bebas?

Jika dilihat kepada perhubungan tegang antara Pas dengan parti-parti kompenan PH seperti Amanah serta DAP, sudah semestinya penyokong parti Islam itu lebih cenderung untuk memilih bersama BN dalam PRK Dun Sungai Kandis ini.

Perkara ini turut diakui oleh Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

50 peratus undi Pas kepada BN

Menurut Awang, menerusi jangkaan beliau, sebanyak kira-kira 50 peratus undi daripada penyokong Pas akan memilih BN manakala 35 hingga 40 peratus akan mengundi calon PKR pada kali ini.

“Manakala selebihnya pula saya beranggapan tidak akan undi atau pun melakukan undi protes.

“Perkara ini adalah susulan daripada perhubungan tegang antara Pas dengan parti kompenan PH lain dan sudah semestinya mereka akan memilih BN yang menjadi rakan pembangkang pada masa kini,†katanya.

Di samping itu, Awang turut mengandaikan bahawa PKR tidak mempunyai masalah untuk memperoleh kemenangan lebih besar menerusi undi simpati susulan kejadian yang menimpa bekas penyandang, Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limforma.

Beliau berkata, BN pastinya akan menggunakan isu-isu di peringkat nasional bagi meningkatkan jumlah undi diperolehi mereka pada kali ini untuk bersaing dengan PH.

“Ini merupakan ujian pertama buat BN selepas mengalami kekalahan pada PRU14 lalu.

 â€œDan sudah pastinya kali ini mereka akan membangkitkan isu-isu di peringkat nasional untuk meningkatkan peratusan jumlah undi buat mereka,†katanya.

Walaupun undi penyokong Pas dijangka akan beralih ke BN, namun ia tidak dapat dijadikan sebagai indikator bagi kemenangan mereka pada kali ini.

PKR pastinya sudah menyusun strategi tersendiri bagi mempertahankan kememangan mereka dengan memperoleh jumlah peratusan undi yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Malah, kehadiran calon Bebas yang turut bertanding  pada PRK ini akan menyebabkan berlakunya pecah undi dan memberi sedikit kelebihan buat PKR.