PERCUBAAN pengarah muda berbakat besar, Timo Tjahjantountuk menghasilkan sebuah filem seram Indonesia tampaknya berhasil.

Filem yang merupakan idea asal, hasil tulisan dan arahannya ini menyaksikan gandingan pertama kali bintang sedang meningkat naik, Pevita Pearce dan Chelsea Islan.

Bercerita mengenai pembikinan filem ini, Timo berkata, bagi mereka yang sudah mengenalinya di Indonesia, dia bukan seorang individu yang arif dengan mitos seram tradisional Indonesia.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, dia tertarik dengan beberapa filem seram dan perkataan iblis dan syaitan itu sendiri.

“Tidak dinafikan filem ini ada sikit suntikan inspirasi dari filem seram lama Indonesia.

“Tapi sejujurnya saya tidak begitu handal dengan cerita seram tradisional.

“Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan perkataan iblis syaitan, di mana pada pandangan saya ia mempunyai mitologi yang menggoda.

“Ini kerana kalau kita lihat, ramai yang mahu kita menjauhi iblis, syaitan, tetapi masih ramai yang mahu mendekati.

“Jadi dari situ saya bina sebuah cerita yang ada isi dan supernaturalnya,” katanya ketika ditemui pada pratonton filem Sebelum Iblis Menjemput di MMCineplex, eCurve, Mutiara Damansara, semalam.

Tambah Timo, biarpun pertama kali mengarahkan filem seram, namun dia tidak berdepan dengan masalah besar dan merasa bertuah kerana mendapat sebuah team yang bagus.

“Cuma sedikit cabarannya adalah untuk menghasilkan sebuah filem seram yang tidak terlalu sadis, tapi masih menakutkan dan boleh diterima untuk semua lapisan masyarakat.

“Selain itu saya selitkan sesuatu yang bersifat psikologi, di mana babak rasukan dan perubahan karakter oleh para pelakon yang berubah-rubah sehingga mungkin boleh membuatkan penonton tertanya-tanya,” jelasnya.

Filem Sebelum Iblis Menjemput diedarkan oleh Ideate Media untuk pasaran Malaysia  akan menemui penonton di pawagam bermula 20 September ini.

Sudah berjaya memberi igauan kepada penonton di Indonesia, filem ini juga menjadi  filem ke-9 tahun ini yang berjaya melepasi 1 juta penonton di Indonesia selepas 3 minggu ditayangkan.

Selain Chelsea dan Pevita, ia turut dibintangi Samo Rafael, Karina Suwandi, Ruth Marini dan Ray Sahetapy.

Mengangkat simbolik; “Dia akan datang! Saat ia datang, tak ada satu pun tempat yang aman untuk berlindung.†Justeru, dua kalimat itu digambar amat bertepatan terhadap emosi penonton saat menyaksikan sendiri kengerian sang iblis melakukan kejahatan terhadap golongan manusia.

Begitupun, esensi Sebelum Iblis Menjemput tidak melulu tertumpu mengenai kepandaian iblis menguasai kotak fikiran manusia. Adegan seram yang dipertontonkan sebaliknya bakal membuai mental peminat menerusi sekuen mencengkam satu demi satu sepanjang filem tersebut ditayangkan di layar lebar.

Ia menceritakan seorang gadis, Alfie (Chelsea) yang mempunyai kisah silam yang tragis. Ayahnya, Lesmana (Ray Sahetapy) meninggalkan Alfie selepas ibunya, Intan meninggal dunia secara misteri.

Lesmana berkahwin dengan seorang wanita muda, Laskmi (Karina) yang mempunyai dua orang anak hasil dari perkahwinan sebelum ini, Mira (Pevita) dan Ruben (Samo).

Setelah sekian lama hidup bersendirian, Alfie menerima berita bahawa Lesmana sedang tenat di hospital daripada penyakit misteri.

Situasi menyeramkan yang dialami Alfie sewaktu di hospital menyebabkan Alfie ingin ke villa lama keluarga mereka di sebuah pergunungan untuk mencari jawapan.

Laksmi dan anak-anaknya muncul di saat Alfie sedang meneliti barang-barang lamanya di tingkat atas.

Tanpa sedar, kewujudan mereka di villa itu telah membangkitkan sesuatu yang menakutkan apabila mereka membuka pintu yang telah dikunci untuk sekian lamanya.

Satu demi satu kejadian ngeri berlaku sehingga Alfie sedar bahawa Lesmana telah membuat perjanjian dengan iblis tanpa mempedulikan darah dagingnya sendiri sebagai pertukaran hanya untuk kekayaan dan kejayaan.

Sertai Festival Antarabangsa

Saat Sebelum Iblis Menjemput yang diumum memasuki pawagam di Malaysia, pada waktu yang sama filem ini menerima perkhabaran gembira apabila diundang sempena L’Etrange Festival Paris 2018 sekali gus menebar pengaruhnya ke seluruh Eropah.

Diberikan judul antarabangsa; May The Devil Take You, filem ini terpilih berdasarkan oleh penilaian panitia penyelenggara bersama 21 buah filem lain di serata dunia dalam kategori Feature Length Competition. Tidak ketinggalan, ia turut bersaing dalam nominasi Public Choice Award sepanjang 5 hingga 16 September ini berlangsung festival tersebut.

Lebih membanggakan, filem ini juga dipilih untuk tayangan rasmi di Austin, Texas sempena Fantastic Fest 2018 yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 September ini dan juga di BFI London Film Festival pada Oktober 2018.