Sehubungan itu, Mujahid menegaskan, pertemuan yang diadakan itu tidak bermakna beliau bersetuju atau pun mengiyakan semua perbuatan serta apa yang diperjuangkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Jelas beliau, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sesama jantina dibangkitkan dalam perjumpaan berkenaan.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah dan masalah lain yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan ibadah secara khusus.“Malah, Nisha juga menegaskan beliau bukanlah ikon bagi komuniti LGBT sebaliknya hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan itu yang sering disisihkan serta memberi galakan agar mereka keluar daripada industri seks,” katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan Nisha, Mujahid meminta orang ramai tidak mendiskriminasi golongan transgender di tempat kerja dan awam bagi mengelakkan lebih banyak kesan negatif diterima oleh golongan tersebut. – UTUSAN ONLINE