KANSER. Sebut sahaja perkataan itu pasti ramai yang bimbang dan gusar mengenai risiko sekiranya diagnosis menghidap penyakit berkenaan.

Bahkan, data yang dikongsikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan satu daripada enam kematian di dunia ini adalah disebabkan kanser menjadikan kanser sebagai penyumbang kedua kematian terbesar di dunia.

Dianggarkan, setiap tahun lebih 8.8 juta orang di seluruh dunia maut disebabkan kanser terutamanya di negara yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuklah di Malaysia.

Ironinya, sesiapa sahaja berisiko untuk menghidap sakit kanser dan lebih menggerunkan lagi sekiranya penyakit berkenaan hanya disedari di tahap lewat.

Majoriti pesakit kanser lewat dapat rawatan

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, majoriti pesakit kanser di Malaysia iaitu kira-kira 58.7 peratus dikesan menghidap sakit berkenaan dan mendapatkan rawatan pada tahap yang lewat.

“Hanya sekitar 17.1 peratus dikesan pada peringkat awal iaitu di Tahap 1. Kes-kes selebihnya dikesan pada Tahap 2 iaitu sebanyak 23.8 peratus, Tahap 3 (22.9%) dan Tahap 4 (35.8%),†katanya.

“Kajian dikongsikan dalam British Medical Journal (BMJ) pada tahun 2015 menunjukkan bahawa ‘fear of diagnosis and treatment’, tahap pengetahuan kanser yang rendah, stigma berkaitan penyakit kanser, faktor budaya seperti kecenderungan untuk mendapatkan rawatan alternatif, dan masalah kewangan adalah antara faktor-faktor pesakit yang menyebabkan pesakit kanser di Malaysia tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurutnya, sebagai contoh, kerajaan menyediakan program saringan kanser serviks yang telah dimulakan pada tahun 1989 dan dijadikan program kebangsaan pada tahun 1995.

“Bagaimanapun, berdasarkan National Health and Morbidity Survey 2006 hanya 43.7% wanita di negara ini pernah menjalani saringan pap-smear,†katanya.

Oleh itu, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kanser, Hari Kanser Sedunia disambut pada setiap 4 Februari dan tahun ini, sambutan peringkat kebangsaan telah diadakan pada 5 Februari lalu di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Bertemakan ‘We Can, I Can’ kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai langkah pencegahan bagi mengelak kanser dan pengesanan awal bagi membolehkan rawatan lebih berkesan dijalankan ke atas pesakit kanser.

Penyebab utama kematian di hospital swasta, keempat di hospital awam

Noor Hisham berkata, penyakit kanser adalah salah satu penyebab utama kematian di negara ini.

“Berdasarkan data tahun 2016 di dalam Health Facts 2017, kanser menyumbang kepada 12.6 peratus kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dan ini merupakan penyebab kematian keempat tertinggi.

“Di hospital swasta pula, kanser adalah penyebab utama kematian iaitu sebanyak 26.7 peratus,†katanya.

Menurutnya, Laporan Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011 (MNCR) yang diterbitkan pada tahun 2016, sebanyak 103,507 kes-kes baru kanser dilaporkan dari tahun 2007-2011.

Berpandukan laporan ini juga, kanser payudara adalah sebanyak17.7 peratus, diikuti oleh kanser kolorektal (13.2%) dan kanser paru-paru (10.2%). Ketiga-tiga kanser ini adalah tiga jenis kanser yang tertinggi di negara ini.

Gambar Hiasan

“Faktor-faktor risiko kanser boleh ubah dikaitkan dengan tingkah laku dan amalan berisiko seperti berat badan yang berlebihan, pengambilan makanan yang kurang sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, merokok dan pengambilan alkohol,” katanya.

Menurutnya, kejadian kanser juga dikaitkan dengan jangkitan seperti hepatitis dan Human Papilloma Virus (HPV), di mana ia menyumbang kepada 25 peratus kejadian kanser di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana termasuk negara ini.

“Selain daripada itu, kanser juga dikaitkan dengan faktor-faktor risiko tidak boleh ubah seperti umur, jantina dan genetik,†katanya.

Pastikan anak ambil pelalian

Noor Hisham menegaskan, WHO menganggarkan 30 hingga 50 peratus daripada kejadian kanser boleh dicegah.

“KKM menyarankan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti diet yang sihat dengan pengambilan buah-buahan segar dan sayur-sayuran, mengurangkan pengambilan garam dan pemilihan makanan kurang lemak.

“Selain itu, mereka juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara berkala dan mengekalkan berat badan yang unggul di mana klasifikasi indeks jisim tubuh (BMI), WHO antara 18.5 hingga kurang daripada 25,†katanya.

Menurutnya, bagi individu yang merokok, mereka dinasihatkan untuk berhenti merokok dan tidak mengambil alkohol.

Kemas kini laporan registri kanser

Sementara itu, Pengarah IKN, Dr Asmayani Khalib berkata, pihak Jabatan Registri Kebangsaan, IKN kini sedang dalam proses penyediaan laporan terkini registri kanser.

Menurutnya, data terkini berkenaan masih lagi dalam proses pengumpulan dan kemaskini.

“Namun berdasarkan laporan kanser terdahulu bagi 2007 hingga 2011, sebanyak 46,794 kes dikesan dalam kalangan lelaki dan sebanyak 56,713 kes dalam kalangan wanita di mana keseluruhan kes sebanyak 103,507 kes.

“Di kalangan golongan lelaki, kaum Cina mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 20,424 kes diikuti kaum Melayu 18,757 kes dan kaum India 2,679 kes,†katanya,

Asmayani berkata, bagi golongan perempuan, kaum Melayu mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 24,188 kes diikuti kaum Cina, 22,114 kes dan kaum India, 4,798 kes.Laporan Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011 (MNCR) yang diterbitkan pada tahun 2016

Sebanyak 103,507 kes-kes baru kanser dilaporkan dari tahun 2007-2011.