TANAH MERAH – Seorang pesara tentera tidak menyangka musibah yang menimpa dirinya dalam kejadian kebakaran di Blok JPN Ulu Kusial, di sini melayakkannya menerima bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran.

Mohd Aidi Rusop, 47, berkata, dia amat bersyukur atas bantuan itu yang turut meringankan beban selepas kediamannya terbakar dan peralatan elektrik serta perabot rosak akibat kejadian itu.

“Lagipun saya sekarang hanya kerja sebagai tukang kebun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan berpendapatan sebanyak RM900. Dengan gaji itulah saya sara isteri dan empat anak berumur antara setahun dan lapan tahun.

“Kejadian kebakaran minggu lalu berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan saya tak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah dan kami reda dengan takdir ini,†katanya

Mohd Aidi berkata, mujurlah tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran itu dan kesemua ahli keluarga selamat walau kehilangan harta benda.

“Terima kasih atas sumbangan ini dan saya akan gunakan sebaiknya untuk menyara kehidupan kami sekeluarga selepas ini,†katanya.

Menurutnya, dia yang pernah bertugas sebagai anggota tentera sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas mengalami masalah keluarga pada tahun 2005 dan berkhidmat dalam pasukan selama 13 tahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Kelantan/Terengganu, Mejar Muhd Aman Shah Alias berkata, bantuan berkenaan adalah sumbangan JHEV sendiri.

“Kita menyampaikan bantuan kepada bekas tentera berpencen atau tidak berpencen berdasarkan rekod yang kita peroleh.

“Dalam situasi ini kita lihat mangsa bekas tentera yang pernah berkhidmat dalam pasukan selama 13 tahun dan kita harap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga itu,†katanya.

Mejar Aman berkata, untuk sumbangan segera dia menyampaikan RM1,000 wang tunai kepada Mohd Aidi dan selebihnya sebanyak RM4,000 akan dimasukkan ke dalam akaun penama.