Pharmaniaga dalam kenya­taannya berkata, untung sebelum cukai (PBT) kumpulan meningkat kepada RM41 juta berban­ding RM38 juta bagi tempoh sama 2017 kerana syarikat masih mene­rima manfaat yang lebih tinggi daripada perniagaan konsesi dan sektor swasta.

Menurutnya, untuk tempoh sama kumpulan mencatatkan untung selepas cukai (PAT) lebih rendah iaitu sebanyak RM23 juta berbanding RM29 juta disebabkan oleh cukai korporat yang le­bih tinggi kesan daripada peningkatan untung daripada beberapa anak syarikat.

“Prestasi kukuh kumpulan pada separuh pertama 2018 membuktikan asas perniagaan kami yang kukuh dan peningkatan kecekapan operasi. Antara tunjang kekuatan kami adalah kerjasama erat dengan pelanggan utama.

“Pharmaniaga secara konsis­ten berusaha memenuhi piawai­an pres­tasi yang telah ditetapkan bagi perniagaan konsesi kami sekali gus membina reputasi mantap sebagai pembekal produk farmaseutikal yang dipercayai untuk sektor awam,” katanya di sini hari ini.

Tambah syarikat itu, kumpulan akan memanfaatkan reputasi tersebut untuk meluaskan pe­ng­u­­a­saan pasaran dalam sektor swasta khususnya segmen penjagaan kesihatan pengguna menerusi inisiatif pemasaran strategik yang agresif.

Katanya, bagi operasi di Indonesia kumpulan masih menca­tatkan prestasi positif walaupun dihimpit kesan susut nilai ringgit dan prospek tahun ini dilihat masih baik.

“Pharmaniaga kini memberi tumpuan untuk menghasilkan sinergi antara anak-anak syarikatnya iaitu PT Millennium Pharmacon International serta PT Errita Pharma dan meluaskan pasaran bagi produk PT Errita Pharma.

“Sebagai kumpulan farmaseutikal bersepadu terbesar di negara ini Pharmaniaga akan te­rus mengembangkan penawaran pro­­duk di pasaran tempatan dan luar negara sambil menggiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan sebagai pemacu utama pertumbuhan,” jelasnya.

Bagi prestasi suku berakhir 30 Jun 2018, Pharmaniaga merekodkan peningkatan hasil kepada RM583 juta berbanding RM518 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2017 didorong oleh permintaan kukuh daripada hospital kerajaan.