KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Tian Chua membidas calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwanya cuba membuat keputusan besar parti secara rahsia.

Menurut Tian Chua, tindakan itu berbeza dengan pendirian Rafizi sebelum ini yang mempertahankan keterbukaan dan ketelusan.

“Sebelum ini anda tak habis-habis bercakap tentang keterbukaan, ketelusan dan kebenaran. Tapi kini boleh pula mendakwa beberapa orang terpilih boleh membuat keputusan besar untuk parti tanpa berunding dengan orang lain dalam kepimpinan.

“Ini parti demokratik atau kongsi gelap?” katanya di Twitter hari ini.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata, salah seorang ahli Parlimen PKR akan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Susulan itu, Tian Chua membidas Rafizi kerana mengeluarkan kenyataan mendahului Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malah, kata Tian Chua, perkara yang dinyatakan Rafizi itu tidak pernah dibincangkan dalam pimpinan PKR.

Rafizi dalam kenyataan balasnya berkata, hanya beberapa orang tertentu terlibat dalam perbincangan dan keputusan penting parti.

“Saya tidak baca kenyataannya (Tian Chua), itu haknya…, saya faham mungkin dia rasa janggal kerana tidak dilibatkan dalam proses itu,” kata Rafizi.