Beliau turut menyifatkan tindakan yang diambil pasukan penyelamat dan pihak berkuasa Thailand itu sebagai se­suatu yang berani serta luar biasa.

“Kami gembira misi menyelamat itu berjaya dan remaja terbabit yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai kini boleh kembali bersama ke­luarga mereka,” ka­tanya menerusi ca­tatan dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Semalam, kese­mua 12 kanak-ka­nak lelaki bersama jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang dekat Chiang Rai yang ditenggelami air berjaya di­selamatkan dan dibawa keluar.

Kesemua mereka terperangkap sejak 23 Jun lalu ketika melakukan penjelajahan dalam kompleks gua itu selepas latihan bola sepak, namun hujan lebat menyebabkan terowong gua itu ditenggelami air.

Penyelam Britain kemudian me­nemukan mereka kelaparan dan berpelukan antara satu sama lain dalam kegelapan di tebing yang berlumpur dalam gua berke­naan beberapa kilometer di kompleks gua tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir tu­rut mengulas pengorbanan bekas tentera laut Thailand, Samarn Gunan yang terkorban dalam misi menyelamat tersebut.

“Misi itu bukan tanpa pengorbanan. Ingatan kami buat Samarn Gunan yang kehilangan nyawanya dengan tragis ketika menghantar bekalan tangki oksigen ke dalam gua ketika misi tersebut.

“Tindakan beraninya itu kekal ter­­pahat dalam ingatan semua rak­yat Thailand dan masyarakat dunia yang mengikuti rapat per­kembangan episod itu. Takziah kami kepada keluarga dan sahabatnya,” katanya.