Lima mangsa terakhir pasukan bola sepak Wild Boars itu berjaya diselamatkan, semalam, selepas mereka terperangkap di tubir air yang letaknya beberapa kilometer jauh ke dalam gua berkenaan selama 18 hari dan operasi menyelamat penuh berisiko yang mendapat perhatian seluruh dunia itu akhirnya menemui titik noktah.

Sekumpulan penyelam elit asing dan pasukan SEAL Tentera Laut Diraja Thailand berjaya membawa keluar empat remaja lelaki, beserta seorang jurulatih berusia 25 tahun yang merupakan kumpulan terakhir menerusi laluan gelap berisiko tinggi yang dipenuhi air.

Selepas kemenangan 1-0 ke atas Belgium di Saint Petersburg, pemain tengah Manchester United, Pogba menerusi laman sosial Twitter berkata: “Kemenangan ini ditujukan kepada wira-wira hari ini, selamat maju jaya, anda semua sangat kuat.”

Bos Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, minggu lepas telah mengundang kumpulan remaja berkenaan yang bermain untuk pasukan bola sepak Wild Boars ke perlawanan akhir Piala Dunia, Ahad ini sekiranya mereka berjaya diselamatkan.

Namun, FIFA berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa atas sebab perubatan, kumpulan remaja berkenaan tidak boleh diterbangkan ke Moscow.

“Keutamaan FIFA ialah kesihatan semua mangsa yang terlibat di dalam operasi itu dan kami akan berusaha untuk mengundang mereka dalam acara anjuran FIFA pada masa akan datang,” kata jurucakap badan induk bola sepak dunia itu.

Kumpulan remaja berkenaan yang berusia sekitar 11 hingga 16 tahun, terperangkap di dalam gua Tham Luang ketika mereka meneroka gua tersebut bersama jurulatih selepas sesi latihan pada 23 Jun lalu.

FIFA turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas anggota SEAL Tentera Laut Diraja Thailand yang terkorban selepas mangsa kehabisan oksigen ketika terbabit dalam operasi menyelamat. – AFP