SURAYA ALI
SURAYA ALI

Semasa mendedahkan hal ini, Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suraya Ali berkata, pihaknya setakat ini mendapat lima aduan daripada ibu bapa yang membabitkan tiga kematian, satu kecederaan kekal dan satu bagi kecederaan tidak kekal yang membabitkan bayi berusia lima hingga tujuh bulan.

Pihak berkuasa maklum mengenai kesemua kes ini kerana mengikut prosedur pihak hospital akan melaporkan kepada polis apabila berlaku kecederaan tidak semula jadi yang melibatkan kanak-kanak.

Tetapi belum lagi ada tindakan daripada pihak berwajib, katanya.

“Namun PPIM berasa ibu bapa ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya dan mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa,” katanya.

Suraya berkata, PPIM turut menerima lima lagi aduan berkaitan kematian dan kecederaan kanak-kanak di pusat jagaan namun masih belum mendapat maklumat lengkap.

Beliau turut berkata, cadangan supaya tempat kerja menyediakan pusat jagaan kanak-kanak adalah baik namun beberapa perkara lain perlu diambil kira seperti ibu bapa yang bekerja di luar waktu pejabat.

“Mungkin perlu taska 24 jam tetapi cara pelaksanaannya perlu dikaji,” katanya.

Pada masa ini terdapat 205 taska tempat kerja di sektor awam dan 52 taska tempat kerja di sektor swasta.

Pada 3 Julai lepas Adam Rayqal ditemukan mati di peti sejuk rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, di Batu Caves selepas pengasuhnya itu melaporkan bahawa bayi itu dilarikan oleh seorang lelaki. Pengasuh itu kini menunggu pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA