BAGAN DATUK – Umno belum memuktamadkan calon yang bakal bertanding mewakili parti berkenaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis 4 Ogos depan.

Malah Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan parti berkenaan juga belum mendapat kata muktamad sama ada mereka akan menggunakan logo Umno atau BN bagi PRK tersebut selepas dicadangkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Ahmad Zahid apa yang penting perbincangan perlu dilakukan bersama parti komponen BN secara rasmi walaupun perbincangan secara tidak rasmi telah diadakan sebelum ini.

“Kita juga perlu mengadakan perbincangan dengan parti lain yang menjadi pembangkang termasuk Pas bagi menentukan hanya seorang calon sahaja bertanding di Dun Sungai Kandis.

“Kita akan ambil perkiraan dari segi kebolehmenangan kepada parti dan kebolehsokongan kemenangan kepada calon yang akan bertanding si Dun Sungai Kandis,†katanya selepas Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji Kawasan Parlimen Bagan Datuk 1439H/2018M di Wisma Umno Bagan Datuk, Hutan Melintang, petang tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut berkata, bagi memastikan perkara tersebut berlaku pihak pembangkang termasuklah Umno dan parti lain perlu bersetuju untuk meletakkan hanya seorang calon sahaja menentang PKR.

Sementara itu mengulas mengenai cadangan agar logo Umno digunakan bagi PRK Dun Sungai Kandis, Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut belum diteliti secara rasmi biarpun sudah ada cadangan.

“Kita belum teliti secara rasmi biarpun ia satu cadangan yang diperbincangkan dalam jawatankuasa pusat dan saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat jawatankuasa politik.

“Ia adalah untuk kita lihat perincian terhadap keberuntungan jika guna logo luar daripada BN,†jawabnya ringkas.

Terdahulu Mohamad mencadangkan  supaya Umno bertanding pada PRK Dun Sungai Kandis atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti tersebut dalam senario politik semasa.


Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.