SHAH ALAM – Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengusulkan cadangan agar Umno bertanding atas ‘nama sendiri’ pada PRK Sungai Kandis.

Katanya, ini bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat di kawasan berkenaan terhadap Umno.

Menurutnya, inilah masa sesuai untuk Umno menguji pasaran sama ada parti itu masih ‘laku’ atau tidak.

“Kita kena transform Umno jadi produk baharu yang boleh dibeli, bukan produk yang basi. Begitu juga dengan BN, kena ada resipi baru untuk tarik sokongan rakyat.

“Mungkin kita boleh ‘test market’ di Sungai Kandis bertanding atas nama Umno bukan BN. Setuju atau tidak?,†katanya dalam Wacana Sinar Harian kali-64 yang berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ di sini hari ini.

Cadangan Mohamad turut disambut baik penonton yang bersorak tanda setuju.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis 4 Ogos: SPR]

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).