KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan kerja pembinaan bagi projek Hospital Parit Buntar di Perak yang bermula pada 2 Januari lalu dijadualkan siap mengikut kontrak pada 20 Disember 2020.

Menurut JKR dalam satu kenyataan,  fasa 3 projek itu melibatkan kerja-kerja bangunan dengan kos RM136.7 juta yang bakal memuatkan 76 katil.

“Kemajuan fizikal di tapak kini mencapai 8.33 peratus (sebenar) berbanding 4.39 peratus (jadual), iaitu empat peratus mendahului jadual,†kata kenyataan itu kelmarin.

Kerja-kerja penanaman cerucuk telah siap sepenuhnya manakala kerja-kerja pembinaan tetopi cerucuk bermula pada 23 Julai ini.

“Pembinaan projek berjalan lancar dan kini dalam proses semakan di peringkat Contract Coordination Panel (CCP) JKR dan Kementerian Kewangan sebagai mematuhi surat arahan Kementerian Kewangan bertarikh 28 Jun 2018,†menurut kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap artikel mengenai projek itu yang disiarkan dalam sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia pada 20 Julai.

Sementara itu, menurut JKR, sepanjang RMK-11, jabatan itu telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan 247 projek fasiliti kesihatan dengan peruntukan RM15.7 bilion.

“JKR sentiasa menjalankan intervensi/pemantauan yang rapi terhadap semua projek di sepanjang  tempoh pelaksanaan bagi memastikan segala isu serta permasalahan dapat dikenal pasti dan diselesaikan supaya projek dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi projek-projek yang lewat dan tidak dapat disiapkan disebabkan ketidakmampuan oleh kontraktor, ia akan ditamatkan sejajar dengan peruntukan di dalam kontrak,†menurut kenyataan itu. – Bernama