Pelbagai inisiatif dilaksanakan sama ada oleh kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun pada peringkat sekolah bagi menarik minat golongan muda untuk mencintai ilmu sains.

Tidak ketinggalan Akademi Sains Malaysia (ASM) turut mendukung hasrat kerajaan untuk memperkasa STI dalam setiap aspek kehidupan seharian.

Tahun ini, ASM yang merupakan agensi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi. Perubahan Iklim dan Alam Sekitar bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tuan rumah menganjurkan National Science Challenge 2018 sebagai salah satu pertandingan yang penting dan berprestij negara ini .

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah ketika berucap berkata, pertandingan yang masuk tahun keempat itu dilihat mampu menarik minat pelajar untuk mendalami ilmu sains dalam persekitaran yang berbeza.

“UKM sentiasa membuka pintu untuk penglibatan luar terutama bersama sekolah dan kolej pendidikan.

“Kami melihat ini sebagai salah satu usaha dan platform untuk saling mengenali kedua-dua dunia dan sama-sama mengembleng tenaga dalam memacu pendidikan yang berdaya saing dalam kalangan generasi muda Malaysia,” katanya.

Tambah Imran, tujuan utama pertandingan tersebut diadakan sejak lebih hampir 20 tahun lalu, iaitu mulai 1999 adalah untuk menggalak, memupuk dan meningkatkan minat mempelajari STI dalam kalangan pelajar sekolah.

“Saya percaya ramai pelajar hadir hari ini mempunyai minat untuk menjadikan sains dan teknologi sebagai bidang kerjaya mereka.

“Dalam beberapa tahun lagi, anak-anak ini akan tamat pengajian menengah dan akan melanjutkan pelajaran pada peringkat universiti. Sebagai salah satu universiti terkemuka di negara ini, UKM sentiasa mencari dan mengalu-alukan kehadiran pelajar,” ujarnya.

Pertandingan yang melibatkan lima buah sekolah menengah dari Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya itu dimenangi Sekolah Sultan Alam Shah.

Kejayaan itu melayakkan sekolah berkenaan bertanding pada peringkat negeri bulan ini. Sekolah berkenaan menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrjaya Presint 8 (1), SMK Putrajaya Presint 18 (1), SMK Putrajaya Presint 16 (1) dan Pasukan Wild Card dari Sekolah Sultan Alam Shah.

Pertandingan National Science Challenge 2018 mengetengahkan empat kategori iaitu individu, berkumpulan, terbuka dan sesi pitching.

Bagi salah seorang peserta pertandingan, Nur Balqis Alya Mohd. Roslan, 16, dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) teruja terpilih sebagai peserta oleh guru untuk mewakili sekolahnya dalam pertandingan itu.

Dia yang kali pertama menyertainya berharap pertandingan seumpama itu diteruskan kerana dapat membantu pelajar menimba ilmu baharu selain membina jaringan persahabatan.

“Rasa berdebar menjawab soalan sentiasa ada tetapi pengalaman yang dikutip amat berharga. Melalui pertandingan seperti ini amat menguji bersefahaman dan memupuk semangat bekerjasama dalam memastikan jawapan yang diberikan adalah tepat,” katanya yang berminat untuk menjadi ahli biologi satu hari nanti.

Tambah beliau, terdapat beberapa soalan yang tidak dipelajari pada peringkat sekolah dan amat menguji minda, namun percaya soalan berkenaan membantu dirinya dan rakan-rakan untuk lebih mempelajari secara mendalam tentang ilmu sains.

“Selain menambah ilmu, pertandingan seperti ini memupuk minat saya untuk terus mempelajari bidang biologi terutama dan tidak akan menolak untuk menyertai pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Muhammad Syamil Hafiy Mohamad Adnan, 16, merasakan pertandingan tersebut jauh berbeza dengan pertandingan-yang pernah disertainya sebelum ini.

Ini kerana jelasnya, pertandingan ini membolehkan penyokong melihat dengan dekat ia diadakan.

“Pada asalnya guru biologi, kimia dan fizik ada bertanya jika saya berminat untuk menyertai pertandingan ini dan meminta untuk mencari ahli kumpulan.

“Kami perlu melalui beberapa proses sebelum layak mewakili sekolah dalam pertandingan ini. Agak janggal apabila ramai kenalan yang menyokong dari bawah, namun itulah semangat yang membawa kepada kemenangan hari ini,” katanya.

Dia yang merupakan pelajar aliran Sains Tulen itu tidak menjangka semangat kerjasama, toleransi serta terbuka menerima pandangan rakan dan guru membawa kepada kemenangan.

“Kami perlu lebih berusaha mengulang kaji, mengambil tahu berkaitan isu semasa dan melengkapi diri dengan kekuatan mental serta fizikal untuk berdepan saingan pada Ogos ini,” jelasnya.

Sementara itu, rakan pasukannya, Faris Hazim Mohamed Zaimir, 16, pula memberitahu, soalan-soalan yang diajukan kebanyakannya berbentuk pengetahuan umum dan tiada dalam silibus mata pelajaran di sekolah.

“Guru sentiasa menasihati kami untuk mencari maklumat secara dalam talian berkaitan pengetahuan umum dan itu membantu kami mencapai kemenangan hari ini.

“Sepanjang dua minggu sebelum pertandingan, setiap hari selepas waktu sekolah, kami diminta untuk mengulang kaji serta mengasah ilmu pengetahuan sebagai persediaan menjelang pertandingan ini,” katanya.