TANAH MERAH – Ramai penagih baharu dikesan di negeri ini sejak tahun lalu dan perkara itu dipandang serius Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam usaha mengekang kegiatan itu.

Pengarahnya, Rohayu Ahmad berkata, mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah berusia antara 15 hingga 30 tahun dan baru sahaja 12 bulan menagih.

“Usia mereka bukan sahaja di peringkat remaja, malah ada yang berumur 30 tahun baru terlibat menagih.

“Kita harap ibu bapa memainkan peranan dan jika melihat anak mereka terlibat dalam kegiatan dadah terus bawa mereka kepada AADK untuk proses pemulihan kerana kes baru mempunyai potensi untuk pulih berbanding yang sudah lama terlibat,†katanya.

Rohayu berkata, sepanjang tahun ini sehingga Mei lalu, seramai 113 penagih baharu dikesan dengan 45 orang merupakan penagih baharu di Tumpat dan 25 dari Gua Musang.

“Kita juga turut turun ke sekolah mengadakan ujian urin dan kebiasaannya pelajar yang bermasalah dipilih menjalani ujian ini.

“Setakat ini 110 sekolah telah kami lawati dan jalankan ujian urin ini,†katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu seramai 292 pelajar dikesan positif ujian urin manakala tahun ini sehingga Mei lalu mencatatkan seramai 224 pelajar.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan ramai pelajar mula terlibat dengan penagihan air ketum.

“Sebenarnya mereka ini mudah terjebak kerana faktor rakan sebaya dan jadikan minuman ketum sebagai minuman harian yang kononnya tidak positif urin.

“Perkara ini perlu diperbetulkan kerana jika mereka minum air ketum ia akan menyebabkan ketagihan dan akan memberi kesan sampingan kepada mereka,†katanya.

Sehubungan itu, Rohayu menasihatkan ibu bapa supaya memantau tingkah laku anak-anak mereka agar tidak mudah terjebak dengan dadah, selain masyarakat juga memainkan peranan dalam usaha membantu membanteras kegiatan tersebut.