SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengalu-alukan tindakan tegas oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap mana-mana pemimpin PKR yang menawarkan projek bagi mendapat sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pendedahan Anwar bahawa wujud individu tertentu yang menggunakan taktik kotor bagi menang jawatan itu adalah subjektif bukan tertumpu kepada satu-satu pemimpin sahaja.

Beliau berkata mana-mana pihak yang terlibat dalam pemilihan pastinya akan menawarkan sesuatu untuk menang undi.

” Bukan hanya pihak yang sedang memegang jawatan, pihak yang tak memegang jawatan juga boleh terlibat kerana dengan kemenangan itu mereka akan mendapat harta rampasan yang lebih besar,”katanya kepada Sinar Harian.

Jais berkata budaya rasuah sememangnya telah berakar umbi dalam kalangan kebanyakan parti politik di negara ini.

” Bukan hanya pada satu parti, kebanyakan parti bila ada pemilihan maka akan timbullah budaya politik wang ini, “katanya.

Jais berkata, perkara itu perlu dibanteras segera dengan tindakan tegas supaya tidak terus berakar umbi.

Kita berpendapat PKR juga tidak berkecuali dalam menghadapi bahana rasuah ini terutamanya apabila PKR telah menjadi sebahagian daripada parti pemerintah hari ini.

Sudah semestinya dengan kuasa yg ada itu akan menyebabkan ahli-ahlinya sanggup melaburkan wang mereka dalam budaya rasuah bagi memegang jawatan kerana dengan memegang jawatan itulah akan datangnya harta dan takhta,”katanya.

Sehubungan itu, katanya  integriti yang tinggi  perlu dipupuk dan diterapkan dalam parti masing-masing.

“Saranan perdana menteri tentang konsep bersih, cekap dan amanah itu perlu diperkukuhkan di dalam parti pemerintah itu sendiri sebelum rakyat diminta melakukannya,”katanya.

Anwar ketika berucap dalam Sambutan Hari Malaysia 2018 PKR Sabah semalam mendedahkan wujud individu menawarkan projek untuk menang pemilihan parti.