Presiden Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran berkata, langkah tersebut diambil memandangkan sebahagian besar negara di seluruh dunia khususnya negara-negara Islam masih belum mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara.

“Meskipun mereka telah lama memerintah Palestin, mereka sentiasa berada dalam tekanan, mereka telah mencuri tanah Palestin tanpa sebarang pengiktirafan malah tidak mempunyai hubungan baik dengan kebanyakan negara-negara Islam.

“Jadi mereka mengerahkan semua kekuatannya dengan cara menghantar wakil-wakilnya memperluaskan pengaruhnya ke negara-negara lain dan mencari sekutu di Asia Tenggara,” katanya seperti dilaporkan portal Salam Online hari ini.

Mengulas lanjut, Muslim amat menghargai sokongan rakyat Indonesia terhadap Palestin di mata dunia dan beliau percaya negara itu mempunyai potensi yang lebih besar untuk membendung penjajahan Israel di Asia Tenggara.

“Kami sangat menghargai Presiden Indonesia, Joko Widodo dan juga Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Lestari Priansari Marsudi, namun sokongan menerusi kenyataan sahaja tidak cukup sebaliknya tanggungjawab kita adalah membanteras pengaruh mereka yang menyebarkan ideologi tersebut,” katanya.

Tegasnya, Indonesia mempunyai peranan yang cukup besar sebagai negara Islam terbesar dan demokrasi ketiga terbesar di dunia bagi menangani sebarang penularan fahaman Zionis. – UTUSAN ONLINE