GEORGETOWN – Peminat nasi beriani di negeri ini mungkin kecewa apabila mengetahui restoran kegemaran mereka diarahkan tutup kerana kotor.

Restoran terkenal yang terletak di Lebuh Chulia itu diarahkan menutup premisnya dua minggu bermula semalam.

Restoran tersebut antara 11 premis termasuk dua buah kilang memproses makanan yang diarahkan tutup kerana tidak mencapai tahap piawaian kebersihan yang memuaskan.

Dimaklumkan, dua buah restoran nasi kandar lain turut menerima nasib sama apabila dikeluarkan notis penutupan kerana kotor.

Arahan penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 ke atas semua premis itu selepas ditemui najis tikus dan lipas selain peti sejuk yang kotor.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui tempat pembiakan lipas dalam restoran tersebut.

“Kita mengeluarkan notis penutupan sementara selama dua minggu selepas pemeriksaan mendapati terdapat tempat pembiakan lipas di samping keadaan restoran yang kotor.

“Saya difahamkan, ini bukan kali pertama arahan penutupan diberikan kepada restoran ini. Sebelum ini pun dah ada (notis penutupan) kerana kes sama, beroperasi dalam keadaan kotor,†katanya ketika ditemui dalam operasi, semalam.