KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun bagi membaiki dan menyelenggara jalan persekutuan yang rosak di seluruh negara.

Menterinya Baru Bian berkata, sejak tiga tahun lalu KKR hanya mendapat anggaran RM600 juta hingga RM800 juta setahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan berkenaan walaupun terdapat beberapa permohonan untuk meningkatkan peruntukan itu.

“Sekarang baru saya faham kenapa jalan yang kita ada sekarang ni di ‘patch’ sahaja kerana peruntukan yang diberi tidak mencukupi malah tidak mencapai 15 peratus pun.

“Sedangkan saya diberitahu yang kita perlu buat penurapan jalan setiap enam hingga tujuh tahun, kalau tidak status jalan tu akan jadi ‘bad’ (teruk), dan sekarang kita ada 30 peratus jalan Persekutuan berada kategori ‘poor and bad condition’,” katanya di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.

Justeru beliau akan membawa isu peruntukan itu kepada mesyuarat Kabinet akan datang untuk tindakan susulan.

Baru, yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, KKR akan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur di lima negeri iaitu Sabah, Sarawak, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang dianggap mundur, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara pembangunan yang perlu diberi keutamaan ialah kemudahan lebuh raya, jalan negeri, lapangan terbang dan universiti.

Dalam pada itu, KKR juga akan menaik taraf 245 daripada 394 sekolah daif di seluruh negara.

Daripada jumlah itu 158 sekolah di Semenanjung, 50 di Sabah dan 37 di Sarawak. – Bernama