JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) 2018 melalui program latihan dan bimbingan dalam tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, menerusi peruntukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu telah disalurkan kira-kira dua minggu lalu.

Menurutnya, peruntukan tersebut akan digunakan untuk menjalankan pelbagai program dan latihan kepada golongan sasar.

“Menyedari keperluan meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, maka kementerian melalui Mara melancarkan program khusus bagi pembangunan usahawan wanita iaitu Program Wanita Inspirasi Ekonomi WISE dua minggu lalu.

“Kita menyasarkan lebih 5,000 usahawan wanita akan menerima manfaat daripada peruntukan yang disalurkan ini,†katanya ketika berucap dalam Program Menyantuni Transformasi Luar Bandar di Sports Prima Pandan, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang.

Rina berkata, kementeriannya sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan wanita dalam program-program keusahawanan dan perniagaan sekali gus menyerlahkan mereka.