Update 08:26 date 20/07/2018
HIBURAN | 02 Jul, 2018 | 05:50

Rock & metal bakal bergema di Malam Bintang Lagenda

Paduan nama-nama besar dalam dunia rock dan metal tempatan – seperti Ella, Cromok, Prime Domestic dan Sil Khannaz – bakal menggegarkan gegendang telinga peminat buat pertama kali di selatan tanah air sempena Malam Bintang Lagenda, Sept akan datang. Pada konsert selama dua malam yang akan diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru itu, tirai […]

Paduan nama-nama besar dalam dunia rock dan metal tempatan – seperti Ella, Cromok, Prime Domestic dan Sil Khannaz – bakal menggegarkan gegendang telinga peminat buat pertama kali di selatan tanah air sempena Malam Bintang Lagenda, Sept akan datang.

Pada konsert selama dua malam yang akan diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru itu, tirai persembahan akan dibuka dengan Konsert Rockstars pada 7 Sept.

Pada malam itu peminat dijanjikan dengan persembahan yang tidak mengecewakan daripada ratu rock Ella sebagai tarikan utama malam itu.

Persembahan Ella bakal diiringi pemuzik-pemuzik handalan pimpinan pengarah muzik Aji Samin.

Peminat juga boleh menjangkakan mereka bakal dihiburkan dengan gabungan lagu malar segar Ella. Antaranya Dua Insan Bercinta, Kesal dan Kitalah Bintang.

Peminat juga bakal digamatkan pula dengan bunyi-bunyian padat daripada kumpulan yang ditubuhkan hasil gabungan artis baru dan lama, Prime Domestic.

Prime Domestic dianggotai pemuzik dan penyanyi yang tidak asing iaitu Joe sebagai pemain gitar, Aweera (vokalis), Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainoll (dram).

Janjikan kepuasan untuk semua

Pada malam kedua (8 Sept) peminat dijangka akan dibuat alunan irama trash metal dalam Konsert Metal Legend 11 Live in JB yang menampilkan band seperti Cromok.

Kumpulan itu dianggotai Sam selaku pemain bass dan vokal, Karl (gitar) serta Miji (dram) merupakan kumpulan perintis muzik thrash metal sejak 31 tahun lalu.

Mereka dijangka mempersembahkan lagu-lagu hits seperti Another You, I Do Not Belong Here, Misty dan Memories.

Bagi menghangatkan lagi suasana, kumpulan yang berpaksikan kepada aliran muzik metal iaitu Sil Khannaz turut ditampilkan sebagai jemputan.

Sil Khannaz yang ditubuhkan sejak 1987 dianggotai Jaie (vokal), Dark-e (gitar), Roi (gitar), Neer Hashirim (bass) dan Afzal (dram).

Kumpulan metal legenda paling berpengaruh di Malaysia itu ialah antara pejuang muzik ekstrem yang masih aktif hingga kini.

Menurut penganjur bintang-bintang legenda yang ditampilkan dalam kedua-dua konsert ini cukup berwibawa dalam arena muzik yang mereka pelopori, sama ada di arus perdana atau underground.

Selain itu penganjur turut menjanjikan kelainan dari segi pemilihan lagu, susunan muzik, sistem bunyi, set pentas sehingga penataan cahaya bagi memastikan konsert berkenaan memberi impak berbeza kepada peminat.

Lebih menarik, ianya bakal memberikan pengalaman baru kepada peminat yang hadir apabila pihak penganjur akan menggunakan sistem bunyi 7:1 Stereo Surround (sistem bunyi keliling) untuk kedua-dua konsert.

Kedua-dua konsert berkenaan dianjurkan secara berasingan oleh syarikat tempatan D Grand Stage Event dan Dreamstage.

D Grand Stage Event dan Dream Stage menjangkakan dengan gabungan persembahan mantap, sistem bunyi yang padu dan permainan cahaya yang menarik bakal membuat peminat mendapat kepuasan maksimum.

Tiket Konsert Rockstars dijual pada harga RM58 untuk zon Lepak, RM78 zon Rama-Rama, RM80 zon Kasih, RM150 zon 7.1 Surround dan RM250 zon Gemilang.

Tiket Konsert Metal Legend 11 Live in JB boleh didapati dengan dengan harga RM48 untuk zon Lepak, RM68 zon Thrash, RM90 zon Hardcore, RM180 zon VIP Lepak dan RM250 zon VIP Hardcore.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian di: http://www.ilassotickets.com atau Rock Corner The Garden Midvalley, Victoria Music Sungai Wang dan Victoria Music Amcorp Mall.

Mulai 3 September, tiket juga boleh dibeli di kaunter pintu masuk Stadium Perbandaran Pasir Gudang.

https://www.malaysiakini.com/hiburan/432049
® Selamat datang ke Saluran. Berita Terkini/ Maklumat yang dikemukakan di sini diambil dari sumber yang boleh dipertanggungjawabkan
KOMEN ANDA