Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kenyataan sedemikian dianggap sebagai dakwaan serius dan boleh menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa, apatah lagi Malaysia sedang ‘diteropong’ pihak luar yang begitu berminat mengetahui perihal negara sejak bertukar kerajaan.

Jelas beliau, tuduhan berkena­an disifatkan berniat politik apabila sengaja dikeluarkan untuk menjejaskan imej kerajaan terdahulu.

“Beliau (Guan Eng) boleh membuat pendedahan, namun perlulah meminta pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­nyiasat, bukannya terus menu­duh berlakunya penyelewengan tanpa ada bukti kukuh.

“Sebagai seorang Menteri Kewangan, beliau dan pegawainya di kementerian perlu meneliti, membuat laporan dan biar pihak berkuasa yang mengambil tindakan. Apabila beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini, kita risau boleh menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jais mendesak pihak berkuasa termasuk SPRM untuk menyiasat dengan teliti kes tersebut yang dipercayai melibatkan penyalahgunaan kuasa.

“Pendedahan tersebut wajar disiasat dengan segera kerana melibatkan kepentingan nasional, malah SPRM sebenarnya mempunyai kuasa untuk menyiasat walaupun tiada laporan ke atas sesuatu isu,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk me­nyiasat isu terbabit memandangkan perkara berkenaan dianggap terlalu besar dan boleh menjejaskan kesejahteraan awam.

Katanya, kewujudan RCI membolehkan kes tersebut disiasat dengan lebih teliti oleh pihak pesuruhjaya siasatan yang terdiri daripada golongan yang memiliki pengalaman luas, pakar, profesional dan berkecuali.

“Tuduhan rompakan melibatkan sejumlah wang yang amat besar ini adalah suatu perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja melibatkan wang rakyat, bahkan membabitkan profesionalisme, integriti dan kompetensi pihak-pihak tertentu dalam anggota pentadbiran kerajaan yang lalu serta kakitangan awam secara amnya. Nama dan reputasi negara kita juga boleh terjejas akibat daripada tuduhan yang dibuat ini.

“Hasil daripada siasatan itu sudah pasti dapat membantu semua pihak mendapatkan segala maklumat yang diperlukan bagi mengetahui sama ada tuduhan yang telah dibuat mengenai isu terbabit adalah benar atau pun tidak,” katanya.