Selepas gagal menjadi penyumbang pingat pertama kontinjen Malaysia, jaguh wusyu negara itu mengakui, dia hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan tidak mahu memberi terlalu banyak alasan.

Weng Son melengkapkan saingan di Dewan B, Expo Antarabangsa Jakarta dengan mengumpul 9.59 mata, manakala seorang lagi wakil negara, Yeap Wai Kin di tempat kelapan menerusi 9.63 mata.

“Saya benar-benar telah berusaha keras untuk menghadiahkan pingat buat Malaysia, tetapi persembahan saya tidak cukup bagus dan ini adalah proses pembelajaran buat saya.

“Mungkin juri melihat kesilapan dalam beberapa gerakan saya yang kurang bagus hingga mendorong mereka memotong mata, namun saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan.

“Walaupun ini bukan acara yang memberikan saya kejuaraan pada Kejohanan Dunia 2017, saya tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan.

“Saya sedia bertanggungjawab atas kegagalan meraih pingat hari ini dan berharap selepas ini dapat memperbaiki prestasi,” kata Wong Son.

Pingat emas menjadi milik Sun Peiyuan dari China dengan 9.75 mata, manakala atlet Indonesia, Marvelo Edgar Xavier di tempat kedua (9.72) dan gangsa milik Tsai Tsemin dari Taiwan (9.70).

Acara changquan dijadikan sandaran untuk menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam temasya Jakarta-Palembang menerusi Wong Son dan Wai Kin.

Wusyu yang kali terakhir menghadiahkan pingat emas Sukan Asia menerusi Chai Fong Ying (taijiquan/taijijian wanita) di Guangzhou 2010 akan meneruskan saingan sehingga Khamis ini. – UTUSAN