Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazran Muhammad berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama seperti itu khususnya dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Beliau berkata, ia selaras dengan polisi Kerajaan Pakatan Harapan yang bertemakan semangat Malaysia Baharu.

“Sesungguhnya program kenegaraan seperti ini amat wajar dilibatkan semua agensi Kerajaan dan rakyat tanpa perbezaan fahaman politik, agama dan kaum.

“Program ini adalah program murni yang memerlukan penglibatan rakyat keseluruhannya dalam menghayati dan menyemarakkan semangat kemerdekaan serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya semasa melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 peringkat negeri Kelantan di Padang Kemahkotaan Tumpat, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Zamri Ismail.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri, Amir Zakri Mahmad Mahyidin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka Jabatan Penerangan Malaysia yang juga Ketua Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), Mohd Roffee Mohamad.

Program ini adalah anjuran bersama Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Jabatan Penerangan bersama dengan Kerajaan Negeri dengan disokong oleh jabatan dan agensi Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, Mohd Roffee berkata, Tumpat adalah lokasi ke 14 daripada 48 lokasi yang menjadi persinggahan konvoi KMJG dan telah melalui perjalanan lebih 328 kilometer setakat ini selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu.

Beliau berkata, seramai 133 peserta termasuk petugas belakang tabir menjayakan kelancaran pergerakan konvoi yang turut membabitkan penyertaan 30 motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan pacuan empat roda. – UTUSAN ONLINE