TANAH MERAH – Hampir 400 pembeli projek perumahan Taman Nusa Jaza Perdana di sini, menuntut pembelaan selepas membeli kediaman itu yang  terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Mereka mengharapkan ada pihak yang tampil bagi membantu proses pemulihan semula projek berkenaan.

Sebahagian besar pembeli daripada kalangan anggota tentera termasuk yang sudah menamatkan perkhidmatan kini dipercayai tinggal di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemuliharan Projek Terbengkalai itu, Nurul Huda Ibrahim, 39, berkata pihaknya sukar mengesan pembeli berkenaan kerana projek itu sudah terbengkalai sejak 2008 lalu.

“Setakat ini kira-kira 100 pembeli hanya berjaya dikesan menerusi pelbagai usaha yang dijalankan.

“Kami dimaklumkan syarat bagi memulihkan projek terbengkalai itu ianya memerlukan persetujuan bertulis 70 peratus daripada jumlah pembeli asal projek perumahan berkenaan.

“Oleh itu, kami merayu agar pembeli terbabit segera tampil menghubungi jawatankuasa ini menerusi talian 019-6359915 bagi membantu pelbagai perkara berkaitan proses pemulihan itu,” katanya ditemui di lokasi projek perumahan berkenaan di sini, hari ini.

Sementara itu, pembeli, Mohd Idrus Mat Yusoff, 42, menyambut baik langkah bagi memulihkan projek perumahan yang terbengkalai itu.

Mohd Idrus berkata, pembeli merasa terbeban kerana terpaksa menanggung potongan gaji antara RM250 hingga RM500 sebulan walaupun projek itu sudah terbengkalai.

“Kami kecewa apabila pembeli terutama yang sudah pencen terus menanggung beban hutang tetapi rumah masih tidak siap,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap perkara ini dapat diselesaikan dan nasib mereka terbela.