PELABUHAN KLANG – Siasatan terhadap 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kes penyelewengan dana PRU14 berjumlah RM3.5 juta dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Siasatan kes itu dijalankan oleh SPRM, bukan kita (PDRM).

“Mereka itu bukan anggota polis kita, tapi anggota tambahan,†katanya kepada pemberita di Boustead Cruise Centre, di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua lelaki berumur antara 31 dan 51 tahun itu direman lima hari bermula Rabu lalu.

Antara yang direman adalah seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38. Menurut sumber SPRM, kesemua suspek ditahan semasa hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 17 pengawal seleweng dana PRU14 RM3.5 juta direman]

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM840,700 dan sembilan motosikal pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM90,000.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir membuat lawatan ke kapal mewah Equanimity yang dikatakan milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, di Boustead Cruise Centre, selepas tiba kira-kira jam 11.40 pagi bersama beberapa pengiringnya.

Turut hadir adalah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab.