PUTRAJAYA – Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyeleweng RM800,000 wang milik yayasan untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri, dipanggil memberi keterangan esok.

Perkara itu dimaklumkan olehnya selepas selesai memberi keterangan berhubung 1MDB di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

“Saya kira ia selesai hari ini dan tetapi esok akan disambung berhubung Yayasan Akalbudi,†katanya kepada media di sini.

Sinar Harian sebelum ini secara ekslusif melaporkan seorang pemimpin tertinggi Umno akan dipanggil SPRM bagi menyiasat dakwaan salah guna dana sebuah yayasan.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu, siasatan dijalankan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang daripada pemimpin tinggi Umno menyalahgunakan wang sebuah yayasan, di mana  beliau menjadi pengerusi.

Beliau disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya akan beri keterangan SPRM esok’ ]

SPRM dipercayai berjaya mengesan beberapa dokumen yang mencatat maklumat transaksi pembayaran untuk diri dan isteri pemimpin itu.

Penyalahgunaan wang yayasan tersebut bermula pada 2014 lagi.

Pada 2014 dan 2015 beliau didakwa menyalah guna kira-kira RM800,000 dan pada 2016 pula kira-kira RM55,000 untuk isterinya.

Menurut sumber itu lagi, pada masa sama, SPRM juga menyiasat kes penyelewengan dana dan salah guna kuasa beberapa tokoh politik, termasuk beberapa bekas menteri dan ketua bahagian parti.