PUTRAJAYA- Selang beberapa minit selepas ketibaan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau tiba jam 9.50 pagi memakai kemeja batik berwarna ungu kelihatan ceria menyapa dan bersalaman dengan petugas media.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat penyelewengan bekas menteri Umno]

[ARTIKEL BERKAITAN: Seleweng dana Yayasan: Ahmad Zahid beri keterangan esok]

Sinar Harian sebelum ini secara eksklusif melaporkan seorang pemimpin tertinggi Umno akan dipanggil SPRM bagi menyiasat dakwaan salah guna dana sebuah yayasan.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu, siasatan dijalankan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang daripada pemimpin tinggi Umno menyalahgunakan wang sebuah yayasan, di mana  beliau menjadi pengerusi.

Beliau disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

SPRM dipercayai berjaya mengesan beberapa dokumen yang mencatat maklumat transaksi pembayaran untuk diri dan isteri pemimpin itu.

Penyalahgunaan wang yayasan tersebut bermula pada 2014 lagi.