PELAKON dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki sememangnya dikenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dan cukup disenangi ramai.

Namun statusnya di laman Instagram miliknya semalam menarik perhatian ramai apabila, Afdlin meluahkan rasa kesalnya terhadap individu yang didakwa telah memburukkan dirinya kepada orang lain.

Lebih mengecewakan, individu yang memburukkan Afdlin juga juga merupakan rakan-rakan yang pernah rapat dengannya sebelum ini.

“Ada juga kawan yang dahulunya rapat namun sekarang ini dah berbeza. Mungkin aku ada buat silap sebelum ni sehingga ada ‘kawan-kawan’ yang tidak bersama lagi, sanggup memburukkan aku dengan orang lain.

“Mungkin untuk meraih simpati, menyambung rezeki atau menimbulkan kebencian orang terhadap aku. Kepada mereka yang berbuat begitu, aku memohon maaf atas silap dan salah yang aku lakukan terhadapmu sehingga kebencian mu terhadapku membuak-buak sebegitu!

“Dan aku memaafkan kamu juga kerana kelakuan mu itu. Aku dengan rezekiku dan kamu dengan rezekimu. Semoga ALLAH SWT mengampuni kita semua,†luah Afdlin dalam nada kecewa.

Bagaimanapun, Afdlin tidak menyebut sebarang nama atau memberi bayangan siapakah individu yang dimaksudkannya.

Rata-rata netizen turut bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Afdlin dan turut memberikan kata-kata positif buatnya di ruangan komen.

Dalam perkembangan lain, Afdlin bakal tampil bersama Datuk Awie, Datuk Hans Isaac dan Datuk AC Mizal bakal dalam menjayakan Baik Punya Concert 4D di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26-28 Julai depan.