Berikutan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan di sini mengambil inisiatif menganjurkan larian dan kayuhan basikal merentas desa dinamakan Larian Lusiran Merdeka Fun Ride di sekitar daerah itu.

Program tersebut yang merupakan salah satu pengisian menjelang sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini dilancarkan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Uda Sulai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, program berkenaan amat bermakna kerana bukan sahaja menanam semangat kemerdekaan dalam diri masyarakat malah turut memupuk budaya hidup sihat.

“Aktiviti sukan seperti ini perlu menjadi medium setiap sekolah bagi meningkatkan kegiatan kokurikulum mereka.

“Program yang turut disertai peserta dari daerah lain ini juga mampu mempromosi kawasan Putatan dan Petagas yang kini sedang pesat membangun,” katanya dalam ucapan ringkas sebelum merasmikan larian itu pagi ini.

Program berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu enam kilometer bagi acara larian dan 23 kilometer untuk berbasikal.

Lebih 500 peserta menyertai program tersebut yang bermula pada pukul 6.40 pagi dan menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti hamper serta wang tunai kepada pemenang.