SHAH ALAM – Srikandi PKR Selangor membidas calon Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh yang mendakwa Wanita PKR takut menegur pimpinan tertinggi dan hanya menjadi pak turut.

Ketuanya, Nurainie Haziqah Shafii berkata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sentiasa mengutamakan agenda memartabatkan Wanita.

Nurainie menegaskan tuduhan dilemparkan Fuziah yang bertanding merebut kerusi Ketua Wanita PKR itu sebagai tidak berasas.

“Wanita PKR di bawah kepimpinan Zuraida telah mengutamakan agenda memartabatkan wanita. Dalam proses ini, seringkali Wanita PKR mengeluarkan kenyataan yang tidak disenangi dan diterima oleh beberapa pemimpin parti.

“Namun, fokus adalah jelas untuk menjuarai isu dan kepentingan wanita. Wanita PKR telah memainkan peranan sebagai penggerak dan nadi utama parti,†katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Fuziah tidak mahu Wanita PKR jadi pak turut]

Sebelum ini, Fuziah yang menyerahkan borang pencalonan di IbuPejabat PKR dilaporkan mahu memastikan Wanita PKR tidak terus menjadi pak turut dan berani menegur kepimpinan tertinggi parti.

Tegasnya, Wanita PKR perlu berani dan lantang dalam menegur pemimpin.

Dalam pada itu, Nurainie berkata matlamat Fuziah bagi merebut jawatan ketua itu suatu perkembangan yang tidak sihat.

“Saya merasakan matlamat utama Fuziah untuk merebut jawatan Ketua Wanita ini berdasarkan atas prinsip ingin mengubah budaya pak turut yang langsung tidak wujud ini sebagai tidak sihat kepada perkembangan Wanita PKR.

“Seharusnya matlamat utama Wanita PKR ialah mengangkat martabat wanita serta menjuarai isu serta kepentingan wanita di Malaysia.

“Seperti kuota 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan seharusnya menjadi sandaran utama agar Wanita PKR dapat dilihat sebagai progresif dan positif,†katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap ahli parti akan dapat memilih barisan kepimpinan yang progresif dan mampu membawa Wanita PKR ke arah yang lebih baik dalam mendepani cabaran dan isu wanita di Malaysia.