Subasic dikatakan menyalahkan dirinya sebagai punca kematian Custic ketika mereka beraksi buat kelab divisyen satu Croatia, NK Zadar.

Custic meninggal dunia pada 3 April, 2008 ketika usianya baru mencecah 24 tahun.

Kematian Custic berpunca ketika dia berlari untuk mengejar bola tendangan Subasic, sebelum berlaga dengan pemain lawan dan tidak sedarkan diri.

Dia digegaskan ke hospital berdekatan dan menjalani pembedahan kecemasan di otak, malangnya selepas enam hari dirawat Custic gagal diselamatkan kerana suhu badannya naik mendadak.

Sejurus tamat perlawanan peringkat 16 akhir menentang Denmark, 2 Julai lalu, Subasic membuka jersinya dan menayangkan kemeja-T yang terpampang wajah Custic.

Akibatnya, dia diberi amaran oleh badan bola sepak dunia, FIFA.

Ketika ditanya tentang insiden yang berlaku 10 tahun lalu, Subasic berkata: “Setiap hari selepas insiden itu berlaku, saya tanya kepada diri sendiri mengapa saya memilih untuk bermain bola sepak.

“Saya beritahu diri saya, kalaulah saya tidak menyepak bola itu kepadanya dia mungkin masih hidup.

“Selepas insiden itu, saya mahu pergi jauh dan bawa diri ke Amerika Syarikat, tetapi saya tidak dapat tidur lena.

“Setiap kali terjaga, ketika keadaan masih gelap, saya akan teringat-ingat apa yang berlaku. Saya terus bertanya kepada diri sendiri, mengapa saya memilih untuk bermain dengannya, saya tidak patut menendang bola ke tengah. Kalau saya tidak sepak, dia mungkin tidak sakit.

“Sejak dari detik itu saya sentiasa memakai kemeja-T dengan gambarnya setiap kali beraksi. Saya lakukannya ketika beraksi buat Zadar, Hajduk Split dan Monaco dalam Liga Juara-Juara serta Liga Europa .

“Hari ini, saya melakukannya bersama Croatia di Piala Dunia”.

Selepas Subasic menayangkan kemeja-T wajah Custic, pegawai perlawanan memberi amaran kepadanya dengan memberitahu, Piala Dunia mengharamkan semua pemain menunjukkan mesej peribadi.

“Saya tidak peduli. Saya sudah pakai kemeja-T ini untuk tempoh yang lama dan akan terus memakainya,” tegas Subasic. – AGENSI