KUALA LUMPUR – Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salah Guna Kuasa, Armada Nasional hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berharap, pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu terutama individu yang menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk mengkhianati proses demokrasi dan kedaulatan negara.

Menurutnya, pihaknya juga ingin mengetahui dalang yang memberi arahan kepada Hasanah supaya menulis surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) di Amerika Syarikat.

“Hasanah telah mengutus surat mewakili Meio kepada CIA di Amerika Syarikat sebelum PRU14 yang lalu.

“Kandungan surat itu mengandungi fitnah terhadap Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyifatkan perdana menteri itu sebagai anti semitik, anti-Yahudi, anti barat dan autokratik,” katanya di IPD Dang Wangi, hari ini.

Menurutnya, semua tuduhan dan perkataan berkenaan kebiasaannya diguna pakai golongan yang anti kepada pejuang yang pro Palestin dan juga mereka yang lantang kepada penjajahan Barat.

“Kedua jelas dalam kandungan surat yang diutuskan Hasanah kepada CIA itu juga mempunyai unsur-unsur mahu mengundang campur tangan AS dalam urusan politik dan juga proses demokrasi negara ini andai kata kerajaan BN menang tipis PRU14 lalu.

“Ini satu cubaan untuk mengkhianati negara apabila mengundang kuasa besar yang terkenal dalam sejarah mereka pernah terlibat dalam apa jua yang melibatkan negara-negara yang berdaulat terutamanya negara Islam,†katanya.

Selain itu, menurutnya, kandungan surat berkenaan juga memuji hubungan baik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan AS.

“Kononnya dengan hubungan baik ini, Hasanah mengalu-alukan kehadiran tentera AS di Laut China Selatan bagi memberi persaingan dengan pengaruh China di Laut China Selatan.

“Ini sebenarnya dia melanggar pendirian. Malaysia selama ini di mana kita menganggotai pergerakan negara berkecuali (Nam) pada 1970.

“Saya buat laporan ini supaya pihak berkuasa menyiasat surat ini dan ianya telah diakui asli oleh peguam Hasanah sendiri pada 31 Julai lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Surat CIA: Tiada kaitan dengan Najib]

Pada 31 Julai lalu, Hasanah membuat laporan polis mengenai dakwaan bahawa beliau menulis surat kepada CIA menjelang PRU14 lalu.

Laporan dibuat di balai polis Travers di Kuala Lumpur pada jam 1 petang itu antara lainnya menyatakan surat berkenaan tiada kena mengena dengan Najib.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa satu siasatan teliti perlu dilakukan terhadap tindakan seorang pegawai kerajaan yang menghantar surat kepada CIA.

Menurut Guan Eng, siasatan itu penting kerana ia melibatkan hal kedaulatan negara dan seolah-olah menjemput campur tangan asing dalam pentadbiran negara.