Naib Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Affandi Abdullah berkata, persiapan menyambut mereka sudah 80 peratus selesai dengan kumpulan pertama jemaah berkenaan akan tiba di sini pada pukul 10 pagi waktu tempatan, Sabtu ini.

Beliau yang juga Pengarah Operasi Madinah memberitahu, 20 penerbangan fasa pertama melibatkan 45 peratus daripada keseluruhan jemaah akan memasuki Madinah manakala 55 peratus lagi turun di Jedah dan terus mema­suki Mekah.

Katanya, fasa pertama jemaah yang akan tiba secara berperingkat di Madinah dari 14 Julai hingga ­
2 Ogos ini akan dibawa ke sembilan bangunan penginapan yang boleh menempatkan 9,661 jemaah pada satu-satu masa dan mereka akan berada di sini kira-kira lapan hari sebelum memasuki Mekah.

“Bangunan penginapan jemaah di Madinah akan dibahagikan kepada tiga zon.

“Setiap zon disediakan beberapa perkhidmatan iaitu pejabat perkhidmatan zon, jadual pergerakan dan aktiviti, maklumat berkaitan ibadat haji, kaunter pengeluaran wang, klinik dan penghantaran bagasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, terdapat perkhidmatan baharu disediakan untuk jemaah pada tahun ini iaitu kaunter pendaftaran kad sim prabayar STC yang turut akan dibuka di penginapan jemaah haji di Mekah.

Menurutnya, kad sim itu akan dibekalkan secara percuma kepada jemaah untuk membuat panggilan ke tanah air dan mereka hanya perlu mendaftar dengan dikenakan sedikit bayaran sahaja.

“Terdapat 187 orang petugas haji di Madinah dan mereka adalah sebahagian daripada 600 orang yang akan bertugas di sini, Jeddah dan Mekah pada musim haji 1439 Hijrah.

“Sebahagian mereka sudah tiba manakala baki akan tiba secara berperingkat bersama jemaah,” katanya.