ALOR SETAR – Kerajaan pusat tidak wajar menggunakan alasan kekurangan peruntukan sebagai kekangan menaik taraf kemudahan kesihatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana infrastruktur yang tidak sempurna serta kekurangan pegawai perubatan akan memberi kesan terhadap perkhidmatan selain aspek keselamatan dan nyawa pesakit. Menurutnya, kebanyakan hospital mengalami masalah sama, terutama kekurangan doktor pakar dan pegawai perubatan di wad kecemasan serta kesesakan pesakit dalam wad.

“Kerajaan perlu penuhi permintaan pihak hospital seperti tambahan pegawai perubatan dan doktor pakar, kekangan kewangan tidak boleh dijadikan alasan,†katanya ketika meninjau bangunan baharu wad kecemasan Violet, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mahfuz berkata, HSB antara hospital yang berdepan masalah kekurangan pegawai perubatan, di mana jumlah doktor bertugas di wad kecemasan adalah 29 orang untuk 24 jam, dibandingkan keperluan untuk beroperasi 24 jam adalah 60 doktor.

“Apabila jumlah doktor kurang, pesakit kes ringan terpaksa menunggu lama. Keutamaan rawatan adalah untuk pesakit kritikal, kemalangan dan serangan yang serius,†katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, wad kecemasan juga sentiasa sesak dengan pesakit kerana pesakit kes ringan enggan ke klinik sebagai pilihan.

“Walaupun ada rungutan tempoh menunggu lama, kadang sehingga tiga jam sebelum dirawat, namun tidak dapat elak kerana pesakit yang alami sakit biasa pun datang sini. Sedangkan mereka ada pilihan ke klinik menyebabkan berlaku kesesakan,†katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz berharap orang ramai harus peka peranan wad kecemasan yang perlu diberikan keutamaan kepada pesakit kritikal.

“Ada pesakit sanggup tunggu berjam-jam namun ia agak membuang masa. Jika pilih klinik, rawatan pun sama. Masyaralat harus tahu pilihan yang ada, manakala Jabatan Kesihatan negeri perlu uarkan maklumat lebih meluas mengenai kewujudan klinik sekitar kawasan,†katanya.

Menurutnya, sekiranya masalah ini berlarutan antara opsyen adalah dengan menetapkan peraturan lebih ketat seperti hanya pesakit kritikal diterima di wad kecemasan.

“Namun perlu diadakan hebahan atau kempen terlebih dahulu berkaitan peranan wad kecemasan dan pilihan rawatan di klinik,†katanya.

Mengulas mengenai tambahan bangunan baharu menempatkan pesakit wad kecemasan yang dikenali sebagai Violet Zone, katanya, ia antara usaha baik mengurangkan kesesakan pesakit.

“Wad kecemasan tambahan ini dikhususkan kepada penyakit mudah berjangkit, dikuarantin selepas pulang dari luar negara seperti Makkah atau alami jangkitan lain. Tempat sudah siap namun peralatan belum lengkap, hanya menempatkan katil lama tanpa tilam,†katanya.

Mahfuz berharap, Kementerian Kesihatan menyediakan peruntukan untuk melengkapkan kemudahan di wad berkenaan agar dapat beroperasi segera.