GEORGETOWN – Projek tambakan laut di selatan negeri ini merupakan model pembiayaan tunggal bagi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia bukan sahaja dapat menampung sepenuhnya kos pembinaan projek LRT dan Pan Island Link 1 (PIL 1), malah membantu menanggung kos operasi dan penyelenggaraannya di masa hadapan.

“Projek ini juga salah satu langkah penyelesaian dalam memastikan kelestarian pembangunan ekonomi di Pulau Pinang pada masa akan datang.

“Sekiranya projek tambakan laut tidak dilaksanakan, maka kerajaan negeri perlu mendapatkan bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk membiayai projek LRT dan PIL 1.

“Selain menjadi modal kewangan kepada PIP, projek tambakan laut dilihat dapat mengatasi masalah-masalah perbandaran yang dihadapi di negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan-soalan lisan oleh Lee Khai Loon (PKR- Machang Bubuk) yang bertanyakan mengenai model kewangan untuk membiayai projek LRT dan PIL 1 pada sidang Dun, semalam.

Menurutnya, kekurangan tanah di bahagian timur pulau akibat pemesatan pembangunan turut memberi implikasi kepada harga rumah dan mengehadkan tanah untuk perkembangan tapak perindustrian.

“Kerajaan negeri amat memandang serius akan pelaksanaan merasionalisasikan PIP.

“Untuk itu, kerajaan negeri mengemukakan permohonan kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan peruntukan pembangunan untuk membiayai projek LRT.

“Sekiranya permohonan peruntukan kita tidak diluluskan, kerajaan negeri turut memohon agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan pinjaman faedah rendah untuk pelaksanaan projek LRT tersebut,” katanya.