Intipati penjelasan beliau tentang Islam dan konsep sarwajagatnya masih sama, iaitu Islam sebagai sistem hidup yang lengkap merangkumi kehidupan dunia dan akhirat, tidak hanya tertumpu kepada ibadat dan fardu ain. Bagaimanapun, kelainan suasana dan perbincangan yang terbaharu ini sahaja yang amat terasa. Dalam pertemuan itu, beliau dilanda emosi semasa me­nyampaikan perutusannya sehingga kelihatan sebak dan tidak mampu meneruskan ucapannya, lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusuf sebagai pengerusi perjumpaan menenangkan keadaan.

Pertemuan penulis dengan beliau pada 1991 itu sebenarnya menimbulkan sedikit tanda tanya ketika beliau menyatakan bahawa institusi tangki pemikiran yang hendak ditubuhkan itu akan diberi nama sebagai Institut Kefahaman Islam, yang segera menarik perhatian penulis untuk bertanya kenapakah kefahaman Islam yang seharusnya difokuskan? Lalu Dr. Mahathir menjawab bahawa itulah kata kuncinya ke­rana Islam sering disalahertikan oleh media Barat, malah tidak difahami sepenuhnya oleh orang Islam sendiri.

Media Barat dengan sengaja sering melabelkan Islam sebagai agama yang penuh dengan kekejaman dan keganasan, kemunduran dan tidak bertamadun, malah kejahilan ilmu pengetahuan dan kemiskinan dan penderitaan kepada para penganutnya.

Imej Islam digambarkan sebegitu berasaskan kepada realiti dalam masyarakat Islam, yang mereka dakwa dipenuhi unsur-unsur negatif walaupun sebenarnya perbuatan negatif seperti keganasan dan penentangan itu dilakukan hanya segelintir kecil umat Islam terutamanya golongan yang dijajah dan ditindas oleh penjajahan Barat sendiri. Namun, untuk menutup salah laku Barat sendiri, maka media mereka sering menggambarkan hal ini sebagai lambang agama Islam sendiri.

Menyedari hal inilah, maka dunia Islam harus berusaha me­ningkatkan pencapaian mereka dalam bidang ilmu pengetahuan, kegiatan ekonomi dan teknologi, malah membina tamadun dan peradaban mereka supaya setaraf dengan negara-negara maju dan sejajar dengan kemajuan zaman global. Ini supaya dengan itu imej Islam yang dirosakkan itu dapat diperbaiki dan pertingkatkan.

Dengan penubuhan IKIM pada 1992, maka pelaksanaan agenda­nya yang strategik sering dilakukan dengan pimpinan Perdana Menteri sendiri, walau pun sebenarnya sejak penubuhannya, penulis telah meminta beliau supaya mengelakkan pelantikan tokoh politik untuk mempengerusikannya. Dan beliau bersetuju Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilantik menjadi pengerusinya.

Sebagai sebuah institusi penyelidikan dan pemikiran yang ditubuhkan oleh kerajaan, IKIM tetap menyokong dasar kerajaan semasa dalam agendanya tetapi penulis telah memberikan isyarat kepada beliau bahawa dalam mematuhi dasar itu, IKIM akan sentiasa memberikan pandangan balas yang mungkin berbeza dari dasar negara. Beliau bersetuju, tetapi bergantung kepada kerajaan sama ada dapat menerima pandangan kedua itu atau tidak.

Namun, kembali kepada perjumpaan terbaharu ini, Perdana Menteri yang sama telah menjelaskan dengan panjang lebar isu-isu keislaman dan global yang terkini, dengan harapan jentera kerajaan akan dapat memahami lebih mendalam lagi isu-isu tersebut. Ini terutamanya tentang kesatuan ummah dan bangsa Malaysia serta hubungan agama dan kaum yang seharusnya dapat dipertingkatkan lagi, sesuai dengan peredaran era baharu dan perkembangan politik mutakhir.

Dr. Mahathir amat ingin melihat semua institusi keagamaan Islam dapat menyesuaikan pendekatan dan agenda kerjanya dengan lebih holistik dan kaedah lebih mesra tanpa mengorbankan jati diri umat Islam dan ajaran agamanya. Ini kerana Islam sesuai dengan segala zaman dan perkembangan pemikiran.

IKIM sejak ditubuhkan pada 1992 telah banyak menjalankan dialog peradaban dan kehidupan bersama secara aman antara masyarakat Islam dengan peradaban dan kepercayaan lain secara aktif dan ilmiah. Malah pihak Majlis Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tau (MCCBCHST) sering duduk bersama dan membincangkan isu perhubungan Islam dengan agama-agama tersebut yang dilihat amat berhasil sekali. Agenda ini juga dipancarkan melalui IKIM FM.

Dalam masyarakat berintegriti, semua agama dan budaya maju akan mengakui keperluan menjauhkan jenayah curi, salah laku seks, bercakap bohong dan sebagainya. Malah semuanya bersetuju dengan cara hidup bersama dalam aman, bermesra dalam masyarakat, bantu membantu, bersatu dalam kelainan dan segala nilai universal yang baik.

Di samping itu, IKIM juga se­ring mengadakan sesi perbinca­ngan antara agama dan tamadun dengan pertubuhan dan intelektual dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Korea, Jepun dan pertubuhan antarabangsa dan kedutaan asing di Kuala Lumpur. Ini bagi tujuan pertukaran maklumat dan penyelidikan ser­ta penerbitannya. Malah Parliament of the World’s Religions sering mengundang IKIM untuk berkongsi maklumat dengan pertubuhan yang mengumpulkan semua agama dan kepercayaan di dunia ini.

Dengan kembalinya Dr. Mahathir sebagai peneraju negara ini, maka amatlah diharapkan sekali lagi maruah dan nama baik Islam akan dapat dipancarkan ke seluruh persada dunia dan mengangkat tahap Malaysia sekali lagi sebagai negara Islam contoh yang aman damai. Dan seterusnya menjadi pelindung rakyat berbilang kaum dan agama.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).