BAYAN BARU – Teguran yang dibuat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap menteri dan ahli parlimen kerajaan dilihat satu teguran yang baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai salah seorang jemaah menteri, beliau mengambil teguran itu sebagai nasihat dan pandangan yang baik.

Tambahnya, teguran ke arah kebaikan amat dialukan demi kepentingan kerajaan baharu yang dipimpin Pakatan Harapan (PH).

“Teguran Rafizi itu adalah teguran yang baik. Sebagai salah seorang jemaah menteri, saya mengalu-alukan teguran seperti ini kerana ia memenuhi harapan rakyat. Harapan rakyat adalah tanggungjawab hakiki kerajaan. Itu yang lebih penting.

“Saya percaya, teguran itu bukan bermaksud menjejaskan pentadbiran kerajaan tetapi berhasrat untuk melihat kerajaan PH lebih kuat dan baik berbanding kerajaan terdahulu,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR hadir ke Program Sumbangan Penghargaan Ibu Emas Dun Pantai Jerejak, tadi.

Tambahnya, sikap keterbukaan kerajaan PH itu membezakan antara kerajaan baharu yang dipilih rakyat dengan kerajaan BN dahulu.

“Kekuatan kerajaan baru PH adalah kerana boleh terima teguran dan nasihat. Kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang terbuka dengan pandangan, teguran atau kritikan. Dahulu, bila tegur saja, ia satu kesalahan besar.

“Lihat saja apa nasib Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Shapie. Mereka menegur dan disingkirkan. Kerana sikap begitu, maka rakyat tolak kerajaan terdahulu. Kerajaan baru perlu berbeza. Kita perlu berjiwa besar untuk terima kritikan dan teguran termasuk yang dibuat Rafizi,” katanya.

Semalam, Rafizi menegur menteri dan ahli parlimen kerajaan supaya tidak terlalu kerap menyindir, mengkritik dan membuat pembongkaran kesalahan kepemimpinan BN.

Sebaliknya, beliau menasihatkan pihak berkenaan supaya lebih memberi tumpuan terhadap pelaksanaan janji dalam manifesto PRU14 lalu.

Rafizi berkata, beliau bimbang jika tidak dikawal, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindak tanduk kerajaan yang dilihat banyak menumpukan pembongkaran kesilapan kerajaan terdahulu seperti isu 1MDB berbanding fokus melaksanakan janji manifesto pilihan raya.