JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli menziarahi pusara pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik  dalam Facebook rasmi keluarga diraja Johor iaitu ‘The Royal Johor’, baginda tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 11 pagi.

Baginda turut disertai anggota keluarga Allahyarham termasuk kedua-dua ibu bapanya iaitu Felda Wani Ahmad dan Mohd Gaddafi Mat Kassim.

Raja Zarith Sofiah kemudian berkenan menyiram air mawar dan menabur bunga di atas pusara murid tahfiz itu sebelum berangkat ke kediaman datuk Allahyarham untuk melawat anggota keluarga serta menyertai majlis tahlil dan tazkirah ringkas yang dipimpin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut.

Kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin, 11, pada 26 April tahun lepas menjadi tumpuan  masyarakat  kerana didakwa menjadi mangsa dera pembantu warden madrasahnya hingga menyebabkan  Allahyarham  dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, ketika dirawat, doktor mengesahkan Allahyarham mengalami jangkitan kuman pada kakinya menyebabkan kedua-duanya dipotong.

Pada 18 Mei tahun sama, kubur Allahyarham digali semula bagi mengambil sampel daripada kakinya yang dipotong untuk diuji dan kemudian mengenal pasti kematiannya adalah disebabkan  jangkitan kencing tikus.

Sementara itu, Mohd Gaddafi ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dia bersyukur kerana Permaisuri Johor sudi mencemar duli ziarah pusara Allahyarham anaknya di samping membuat bacaan tahlil khas di rumahnya.  

“Syukur kepada ALLAH serta terima kasih pada Raja Zarith Sofiah kerana sudi datang.  

“Kami difahamkan ziarah ini akan dibuat sebagai program tahunan Istana Johor,† katanya.