JOHOR BAHRU – Polis Johor hari ini menafikan adanya kejadian culik melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun di Simpang Renggam di Kluang, yang tular menerusi laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak 11 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, bapa kepada kanak-kanak yang didakwa diculik tampil membuat laporan polis menafikan kejadian itu.

“Laporan dibuat bapa mangsa yang juga seorang anggota polis pada Selasa lalu turut menyatakan dia tidak tahu siapa yang menyebarkan berita tidak benar itu,†katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, laporan itu dibuat bapa kanak-kanak terbabit kerana bimbang terjadi sesuatu di kemudian hari.

“Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diminta supaya tidak mudah percaya dakwaan yang diperoleh daripada sumber tidak sah dan menggunakan maklumat palsu,†katanya. – Bernama