KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pas Terengganu tidak boleh melaksanakan hukum hudud sehinggalah Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) dibahas dan diluluskan Parlimen ekoran kekangan pemisahan bidang kuasa di bawah kerajaan Pusat dan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, atas sebab itu beliau berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan lebih ‘mesra’ berhubung isu berkenaan agar ia dapat dilaksanakan.

Menurutnya, walaupun tidak dapat melaksanakan hudud namun kerajaan akan mengaplikasikan hukuman  takzir iaitu sebahagian daripada Enakmen Hudud, Qisas dan Takzir yang diluluskan pada tahun 2002 namun penekanannya lebih ke arah mendidik, bukan menghukum.

“Bila kita wujudkan portfolio pelaksanaan syariah, bermula tahun depan kita akan ada bajet untuk laksanakannya. Ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa tapi keutamaannya adalah mendidik melalui dakwah, kempen untuk kesedaran masyarakat,†katanya ketika ditemui di luar dewan dalam Sidang Dun ke-14, hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (Pas-Buluh Gading) berhubung usaha dan perancangan kerajaan dalam memperkasakan pelaksanaan syariah di negeri ini, beliau berkata kerajaan akan menambah baik beberapa perkara.

Antaranya adalah membuat semakan terhadap konsep hukuman 356 (3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan) berdasarkan tuntutan dan keperluan semasa  dan menaik taraf bahagian pendakwaan kepada jabatan.

“Kita juga dalam usaha mewujudkan pusat seperti rehabilitasi melibatkan akhlak kerana sebahagian umat Islam tidak sesuai dipenjara kerana jenayah syariah, mungkin kita akan meneliti kewujudan pusat-pusat seperti ini ke arah membimbing mereka,†katanya.

Satiful Bahri berkata, Islam tidak menggalakkan hukuman penjara sebaliknya lebih menekankan kepada khidmat masyarakat kerana melakukan kerja-kerja sosial menjadikan pesalah lebih bertanggungjawab.

Kerajaan juga katanya akan menambah bilangan penguat kuasa kerana 100 penguat kuasa yang ada sekarang tidak seimbang dengan 1.1 juta penduduk Terengganu.