SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.

Pengesahan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Dun N49 Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, sebentar tadi.

PH meletakkan calon muka baharu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat yang juga pengetua tafiz.

BN pula mengemukakan calon yang lantang mengkritik PH, Datuk Lokman Noor Adam melalui NGO Pemantau Malaysia Baharu.

Calon Bebas pula ialah Murti Krishnasamy yang menghantar kertas pencalonannya jam 9.35 pagi.

“SPR telah menerima kertas penamaan dari tiga calon untuk bertanding PRK Dun Sg Kandis.

“Mereka telah kemukakan kertas penamaan.

Mohd Zawawi jam 9.08 pagi daripada PKR,  Lokman parti BN 9.09 pagi dan Murti Krishnasamy 9.35 pagi parti Bebas,” katanya ketika pengumuman.

Sementara wakil daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamarudin, 42 memaklumkan diarahkan parti menarik diri pada saat akhir bagi memberi laluan satu lawan satu di PRK Dun Sg Kandis.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon PRam, Hanafiah Husin (76).