GOPENG – Sebuah treler yang membawa muatan 20 tong asid terhakis terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tangki di KM 294.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara di sini, kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Nor Zamri A Wahab berkata, kejadian kira-kira jam 11.04 malam itu menyebabkan dua tong yang mengandungi asid hidroklorik bocor.

“Seramai 25 anggota dan pegawai bersama bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian bersama lima jentera tangki.

“Anggota membuat pemeriksaan dan mendapati pemandu lori berusia 49 cedera di tangan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menggunakan ambulan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS),†katanya.

Menurutnya, treler berkenaan dalam perjalanan dari Rawang ke Kulim sebelum bahagian belakang dilanggar sebuah lori tangki.

“Keadaan dapat dikawal dengan cepat. Tong yang bocor terbabit dapat dipindahkan ke tong simpanan yang dibawa dengan bantuan syarikat yang terlibat.

“Bagaimanapun, treler terbabit diarah berpatah semula ke Rawang atas faktor keselamatan. Anggota kemudiannya melakukan proses pembersihan dan nyah cemar kesan asid terbabit,†katanya.

Nor Zamri berkata, operasi pembersihan turut mendapat kerjasama daripada pihak polis dan Plus bagi mengawal lalu lintas.