SHAH ALAM – Puteri Umno menyifatkan tuduhan BN merompak wang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion merupakan helah kerajaan PH menjelang 100 manifesto ditunaikan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, selain helah berkenaan ia juga menggambarkan kepimpinan kerajaan PH hari ini masih terbawa-bawa dengan sikap sebagai parti pembangkang.

Katanya, tuduhan yang bertalu-talu kepada parti BN jelas menunjukkan pimpinan PH masih lagi berfikiran pembangkang.

“Tuduh BN merompak adalah satu lagi helah menteri menjelang 100 hari. Mungkin menteri PH masih terbawa-bawa sikap ketika menjadi pembangkang. Serahkan kepada pihak berkuasa jalankan siasatan dengan adil.

“Bukan tugas seorang menteri membuat tuduhan sesuka hati, kamu bukan seorang hakim,” katanya menerusi laman Twitter beliau.

[ARTIKEL BERKENAAN: KJ buat laporan polis berhubung isu tuntutan GST]

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan kerajaan baharu ini dilihat sebagai tuduhan yang sangat serius dan sebagai parti kerajaan, kepimpinan PH dilihat perlu bersikap matang dan bukan bertindak seperti sebaliknya.