BAGAN DATUK – Umno menegaskan parti berkenaan membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha daripada mana-mana pihak meraikan mazhab Syiah di negara ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengambil kepedulian terhadap pendirian kerajaan yang meminta supaya penganut Syiah terdiri daripada umat Islam Malaysia diberikan peluang bersama dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ini kerana mereka bukan sahaja mengamalkan ajaran Syiah tetapi mungkin juga diizinkan untuk menyebarkan fahaman berkenaan.

“Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa kita menolak Syiah bukan kerana benci tetapi kita tidak mahu ajaran ini memesongkan ajaran umat Islam di negara ini,†katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji Kawasan Parlimen Bagan Datuk 1439H/2018M di Wisma Umno Bagan Datuk, Hutan Melintang, petang tadi.

Menurut Ahmad Zahid Umno berpendirian bahawa mengikut Perlembagaan 3(1), Agama Islam adalah Agama persekutuan, walaupun di dalam perlembagaan berkenaan tidak di sebut amalan kita berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi hal ini harus dihormati kerana ia kontrak sosial.

“Kita yakin penganut fahaman Syiah dari negara lain tidak ada gangguan amalkannya tetapi untuk sebar ia dilarang di dalam fatwa berkenaan apatah lagi ada kalangan umat Islam warganegara Malaysia yang mengamalkannya, menyebarkan dan keluar dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,†katanya.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri turut mengutuk tindakan kerajaan yang menandatangani satu perjanjian persefahaman yang dibuat oleh Institusi Terjemahan Malaysia dengan sebuah negara yang terkenal dengan pembawakan mazhab terbabit baru-baru ini.

“Kami berlapang dada jika buku-buku itu adalah buku berunsurkan ilmu sains teknologi tapi jika ianya mengizinkan novel sebagai bahan kesusasteraan atau bahan-bahan pengajaran dalam fahaman Syiah tentu kita menolaknya.

“Ini kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada bahagian penerbitan buku dan Al-Quran, mereka telah menolak garis panduan ditentukan fatwa, tentunya ini perlu dihormati bagi mengelakkan perpecahan pelbagai mazhab kalangan umat Islam di negara kita,†katanya.

Tambahnya cukuplah umat Islam negara ini berpecah kepada enam kerana meraikan perbezaan pendapat dalam politik dan kita tidak mampu melayani perpecahan di kalangan mazhab yang berbeza.

Terdahulu sebuah portal tempatan melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan pengikut Syiah mempunyai hak sebagai warganegara selagi tidak melakukan jenayah.