Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, sejak semalam pihaknya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat yang tidak mahu melihat Unit Tahfiz berkenaan ditutup.

Katanya, sebarang keputusan mengenai penjualan unit tersebut akan diumumkan pada bulan depan dan tempoh empat bulan diberikan kepada pelajar dan guru untuk membuat persediaan.

“Untuk menutup pusat tahfiz ini bukannya hari ini cakap esok tutup. Pelajar di sini mempunyai keluarga dan kita kena beri masa untuk keluarga mereka mencari sekolah lain.

“Begitu juga dengan 25 kakitangan di unit tersebut. Jika berlaku penutupan, notis akan diberikan dalam tempoh empat bulan bagi membolehkan mereka membuat perancangan. Apa pun keputusan kena tunggu dulu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al Barakah di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya hasil perbincangan yang dilakukan tidak menunjukkan perkembangan positif, maka keputusan untuk menjual unit berkenaan terpaksa diteruskan.

“Jika jadi (jual), kita akan serah kepada pihak lain untuk uruskan. Keputusan awal untuk menutup salah satu unit ini terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan unit-unit lain.

“Namun jika ada pihak yang mahu tolong, kami alu-alukan dan akan teruskan operasi seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE