Dalam dua kejadian pada 30 Julai dan 5 Ogos lalu, limpahan air yang membanjiri koridor beberapa unit di tingkat paling atas pangsapuri sembilan tingkat itu turut menyebabkan kerosakan pendawaian elektrik.

Penduduk, Mohd. Shawal Sabtu berkata, ekoran kejadian itu penduduk kini terputus bekalan air paip di kediaman dan terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dibeli di kedai runcit.

“Walaupun masih ada empat lagi tangki air di blok ini namun ia terpaksa ditutup untuk mengelak kejadian yang sama berulang kerana semua tangki berkenaan sudah uzur dan tidak pernah di­selenggara sejak flat ini diduduki.

“Selain ketiadaan bekalan air, penduduk juga bimbang berlaku litar pintas atau terkena renjatan elektrik kerana semasa tangki tersebut pecah, air melimpah ke beberapa tingkat bangunan sehingga merosakkan lif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru itu Mohd. Syawal ber­kata, penduduk menyeru pi­hak berkuasa supaya datang ke pangsapuri berkenaan untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk dan menyelesaikannya secepat mungkin.

Katanya, aduan mengenai ma­salah itu telah dibuat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat dan Ahli Parlimen Kapar namun masih tiada sebarang tindakan dilakukan.

“Penduduk kini hidup dalam kesusahan, sepatutnya wakil rak­yat turun melihat apa masalah yang berlaku dan cuba permudah dan percepatkan urusan bantuan.

“Penduduk memang tiada tempat lain untuk berpindah. Sepatutnya kerajaan boleh hantar bekalan air untuk keluarga yang terjejas dan membaiki tangki air yang masih boleh digunakan,’’ katanya.

Mohd. Syawal memberitahu, ban­tuan penyelenggaraan ba­ngu­nan fasa kedua di Pangsapuri Seri Perantau (blok G hingga L) berjumlah RM5 juta sebelum ini diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional namun tidak diteruskan selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Peruntukan membaiki tangki air dan siling bagi enam blok pangsapuri telah dijanjikan untuk rakyat tetapi selepas pertukaran kerajaan, bantuan itu masih tidak disalurkan,” katanya.